18 Julai 2024, 23:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kisah tiga sahabat yang membina landasan kereta api pada tahun 1893 telah diangkat menjadi naskhah baharu yang bakal beraksi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kisah ini merupakan kisah benar yang mana penulis skrip dan juga pengarah teater ini, yakni sutradara Roydy Rokidy telah melakukan kajian mendalam sebelum mementaskannya.

“Untuk menyiapkan skrip Monodrama Tiga Veteren: Dari Tapah Road ke Teluk Anson ini, saya telah turun ke lapangan dan melakukan temu ramah dengan penduduk setempat untuk mendapatkan fakta dan maklumat yang sahih”

“Ketika di sana, saya dapat menjejaki tapak pembinaan landasan kereta api dari Tapah Road ke Teluk Anson yang dibina pada tahun 1893”

“Lantas sewaktu saya menyiapkan skrip ini, saya bayangkan anak cucu yang sedang mendengar cerita penglipurlara daripada atuknya.”

Ujar beliau dalam Forum Bicara Dari Tapah ke Teluk Anson anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan di Sudut Karyawan, Wisma DBP pada petang tadi.

Roydy Rodiky, penulis skrip dan juga pengarah pementasan Monodrama Tiga Sahabat: Dari Tapah ke Teluk Anson menjelaskan dalam forum bicara pada petang tadi di Sudut karyawan, Wisma DBP.

Dalam forum tersebut, beliau menjelaskan karya ini menonjolkan budaya tempatan yang jarang diperkatakan, bahkan apabila disuntik dengan teknik monodrama, teater ini bakal menyajikan sesuatu yang segar kepada penonton.

Teater ini dijayakan oleh tiga pelakon veteran yang berkaliber, iaitu Zulkifli Ismail, Rosli Rahman Adam, dan Badrol Hisham.

Seorang daripada pelakon, Badrul Hisham menjelaskan teater ini berkonsepkan monodrama, lantas hal ini merupakan satu cabaran untuk mereka jayakan.

“Kami harus mengkaji setiap watak yang diberikan dengan terperinci, apatah lagi dalam teater ini ada yang menggunakan dialek Perak dan Kedah”

“Perkara-perkara seperti ini harus dimainkan dengan sebaik mungkin, lalu menguji kemampuan dan kredibiliti para pelakon.”

Terdahulu, Monodrama Tiga Veteran: Dari Tapah Road ke Teluk Anson sebuah naskhah yang menyoroti kisah tiga sahabat dalam menyiapkan landasan kereta api dan merupakan sebuah kisah benar di negeri Perak.

Segala lipatan sejarah dan kisah unik mereka akan dipaparkan melalui monodrama tiga sahabat tersebut dan pementasan ini akan bermula pada pukul 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir mulai 19 hingga 21 Julai 2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.