Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTanjong Malim – Pementasan teater Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang telah dipersembahkan di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Pementasan teater selama 45 minit itu dimulai dengan persembahan puisi oleh Nik Nur Shahirah Amni dengan iringan tiupan seruling oleh Muhammad Shahril. Persembahan kemudian diteruskan dengan nyanyian lagu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang oleh mahasiswi dari Uzbekistan, Akramova Sarvinoz Abduvohid Kizi.
Kisah Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang merupakan cerita legenda dari negeri bumi Kenyalang. Perbalahan antara dua orang puteri kayangan tersebut berakhir dengan kedua-duanya disumpah menjadi gunung dan Pulau Kera. Kesan sumpahan ini dikatakan dapat dilihat hingga kini menerusi Gunung Santubong dan Pulau Kera di Sarawak.
Pementasan teater ini mengangkat semula kisah legenda tersebut di mata penonton yang berasal dari pelbagai negeri termasuklah penonton dari Uzbekistan. Hal ini dikatakan demikian kerana tidak semua orang mengetahui tentang kisah legenda dari Sarawak ini.
Barisan krew produksi dan pelakon yang terlibat merupakan mahasiswa dan mahasiswi yang mengambil subjek BSK3013 Drama Amali Seni Lakon. Teater ini diarahkan oleh Athanasua Claudia Rua anak Charlie yang juga merupakan pelakon bagi watak Puteri Sejinjang.
Watak Puteri Santubong pula dilakonkan oleh Consilia Awing. Manakala watak Raja Kayangan dilakonkan oleh Muhammad Hazim Rahisham. Sementara itu, watak Putera Mahkota Serapi dilakonkan oleh Mohammad Fakhrul Azimi Hasrozi.
Yang lebih menarik ialah penampilan istimewa tiga orang mahasiswi dari Uzbekistan, iaitu Akramova Sarvinoz Abduvohid Kizi sebagai penyanyi, manakala Salimboeva Ruhshona Farrukh Kizi dan Kuziboyeva Yulduz Murodjonkizi tampil membawakan watak sebagai orang kampung dalam teater tersebut.
Turut hadir menonton pementasan teater tersebut ialah Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Alumni, Dr Mohd Amir Mohd Zahari merangkap pensyarah bagi subjek BSK3013 (Drama Amali Seni Lakon); Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (JBKM), Dr. Zuraini Ramli serta Ketua Jabatan Fakulti Bahasa-Bahasa Timur dan Terjemahan, Khodjayeva Nilufar.