20 Julai 2024, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jerih perih pengalaman sekumpulan pemuda yang dijadikan buruh paksa oleh pihak British dalam pembinaan landasan kereta api dari Tapah Road ke Telok Anson merupakan tema yang diangkat oleh penulis dan pengarah Teater Monodrama Tiga Veteran: Dari Tapah Road ke Telok Anson, Roydy Rokidy.

Roydy Rokidy yang ditemui menyatakan bahawa beliau berpuas hati dengan keseluruhan persembahan malam pertama pementasan teater tersebut pada malam tadi.

(Dari kiri) Zulkifli Ismail, Badrol Hisham, Roydy Rokidy dan Rosli Rahman Adam.

“Pada awalnya, terdapat beberapa kerisauan, tetapi akhirnya hal itu berjaya diatasi dengan baik dan saya berpuas hati dengan persembahan barisan pelakon serta tenaga produksi pada malam ini,” ujar beliau.

Mengulas tentang tarikan utama teater tersebut, beliau berkata, “Antara tarikannya termasuklah penampilan pelakon-pelakon veteran yang berpengalaman sebagai watak utama. Sangat jarang berlaku dalam industri teater di negara kita, pelakon-pelakon veteran diberikan peranan sebagai watak utama.”

Zulkifli Ismail ketika beraksi melakonkan watak Andak.

Tambah beliau, “Kebanyakan pelakon veteran yang kita ada sekarang ini tidak pernah atau tidak berpeluang berlakon dalam monodrama yang memerlukan mereka melakonkan beberapa watak dalam sesuatu pementasan. Contohnya ada pelakon pada malam ini yang melakonkan lebih daripada tujuh watak.”

Selain itu, menurut beliau jalan cerita yang menarik berdasarkan kisah benar juga merupakan faktor yang boleh menggamit kehadiran penonton pada malam-malam seterusnya pementasan teater ini.

Menurut Roydy Rokidy, selain bunyi, beliau turut menyelitkan kesan bau dari babak memakan durian, ubi kayu dan ikan masin untuk menghidupkan suasana yang sebenar.

“Sebenarnya di luar sana, masih terdapat banyak kisah menarik yang mempunyai nilai sejarah dan masih belum diangkat untuk tontonan khalayak.” tambah Roydy Rokidy.

Terdahulu, dipaparkan kisah Andak lakonan Zulkifli Ismail, Bujal lakonan Badrol Hisyam dan Cecep lakonan Rosli Rahman Adam yang bersama-sama mengenali Mustapa (Setapa) dalam pembinaan landasan kereta api dari Tapah Road ke Teluk Anson pada tahun 1893.

Melalui Setapa, Andak, Bujal dan Cecep mendapat kerja dan menjadi akrab, sehingga Setapa meninggal dunia akibat nahas pembinaan jambatan gerotak besi Sungai Bidor.

Perjuangan dan perit getir anak-anak Melayu ketika itu turut digambarkan sehingga stesen tersebut dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith pada 18 Mei 1893.

Tetamu kehormat bergambar bersama-sama tenaga produksi Teater Monodrama Tiga Veteran: Dari Tapah Road Ke Telok Anson.

Teater Monodrama Tiga Veteran: Dari Tapah Road ke Telok Anson yang dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mulai 19 Julai hingga 21 Julai ini merupakan projek kerjasama antara Frame Art Studio, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan DBP.

Turut hadir menonton teater tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad, YBhg. Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin; Pengarah  Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Kuala Lumpur, YBrs. Puan Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi; Ketua Pegawai Eksekutif Port Perak, YBrs. Puan Nur Hanim Mohamed Khairuddin dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.