Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – Kerajaan Negeri Melaka komited membangunkan sektor pelancongan berunsurkan sejarah yang terdapat di negeri ini dengan memastikan semua artifak bersejarah yang ada terus dipulihara dan terpelihara.
Justeru, penganjuran Festival Malakka Dutch 2024 yang diadakan bersempena dengan Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 dan Sambutan Ulang Tahun Tapak Warisan Dunia merupakan satu daripada usaha untuk mencapai matlamat tersebut.
Menurut Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk
Zaidi Attan, festival tersebut dapat memperkenalkan sejarah Melaka dan Malaysia kepada masyarakat khasnya pelajar sekolah dan betapa sejarah memberikan impak serta hala tuju kepada sektor pelancongan Melaka di persada dunia.
‟Menyedari kepentingan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan dunia, Kerajaan Negeri Melaka telah memulakan Zon Tiada Kenderaan di kawasan Kompleks Stadthuys untuk melindungi tapak warisan Melaka.
‟Selain itu, bangunan bersejarah ini yang merupakan mercu tanda Melaka telah menyaksikan pertumbuhan berterusan dari zaman ke zaman, dengan nilai-nilai sejarah untuk generasi sekarang dan akan datang.
‟Oleh yang demikian, mengekalkan warisan ketara dan tidak ketara ini adalah penting khasnya bandar pelancongan seperti Melaka. Tanpa sejarah, kita akan kehilangan keunikan kita,“ katanya ketika merasmikan festival itu di Muzium Etnografi Kompleks Stadthuys Melaka yang turut dihadiri oleh Jacques Werner, Duta Besar Belanda ke Malaysia.
Menurut Datuk Zaidi, penduduk Melaka akan lebih mengenali Belanda melalui program Malakka Dutch ini dan memahami warisan-warisan Belanda yang terdapat di Melaka.
“Banyak dalam kalangan penduduk Melaka sendiri tidak menyedari di manakah letaknya Telok Ketapang. Dalam pameran Malakka Dutch, ada dipamerkan salinan 15 peta yang telah dibawa balik dari Telok Ketapang Melaka ke Belanda.
“Bendera-bendera ini masih dalam simpanan Muzium Ketenteraan Belanda. Kerajaan Negeri Melaka sedang berusaha supaya bendera-bendera tersebut dapat dikembalikan ke Melaka suatu hari nanti,“katanya.
Pelbgai aktiviti diadakan sepanjang festival yang berlangsung hingga 21 Julai ini, iaitu pameran dokumen sejarah era Belanda, peta lama, salinan bendera yg dibawa balik oleh Belanda dari Telok Ketapang Melaka, gotong-royong di kawasan Stadthuys, jualan cenderamata Belanda dan Melaka, Pertandingan Mewarna Terompah Belanda dan Terompah Melaka, permainan tradisional Belanda, forum, bengkel dan ceramah sejarah Belanda, bengkel membuat roti dan biskut Belanda, persembahan muzikal Belanda dan lawatan berpandu di Kompleks Stadthuys.