Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 200 keping piring hitam lagu-lagu Melayu klasik dipamerkan dalam Pameran Piring Hitam 78rpm: Lagu-lagu Melayu Klasik di Muzium Etnografi Melayu (MEM), Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) dari 1 Julai lalu hingga 31 Ogos depan.
Lagu-lagu tersebut merangkumi dendangan Tan Sri P. Ramlee, Puan Sri Saloma, Nona Asiah, Momo Latif, Rokiah Wanda, A. Rahman, R. Azmi, Ahmad C.B., dan Jasni (semua Allahyarham), serta bertemakan patriotik, Hari Raya, jenaka, drama dan daripada persembahan bangsawan.
Pameran ini anjuran APM dan Perpustakaan Universiti Malaya (PUM) dengan kerjasama Jabatan Kesarjanaan Digital dan Maklumat Semesta, UM; Muzium Seni Asia, Madam Antique & Her Treasure Box, dan Irama Malaya sebagai usaha memanfaatkan piring hitam dan gramofon.
“Piring hitam 78rpm” atau disebut juga sebagai “rekod batu” bermaksud mempunyai daya 78 pusingan seminit. Piring hitam awal ini agak tebal, lebih berat berbanding vinyl yang dikeluarkan selepasnya dan boleh merakamkan dua buah lagu sahaja dalam satu piring.
Gramofon atau peti nyanyinya menggunakan kuasa spring yang perlu diputar sebelum dimainkan. Jarumnya mudah tumpul, dan perlu ditukar selepas memainkan sebuah atau dua lagu.
Pada awal 1970-an, Jabatan Pengajian Melayu (JPM, sebelum bertukar kepada APM) telah mengumpulkan 471 keping piring hitam mengandungi kira-kira 942 buah lagu Melayu lama yang dikeluarkan pada sekitar tahun 1920-an.
Allahyarham Profesor Emeritus Mohd. Taib Osman dan Profesor Emeritus Abu Bakar Hamid telah membelinya daripada Encik Naina Merican dari Pulau Pinang. Senarai lengkap koleksi ini telah disusun oleh Encik Samad Hassan dan diterbitkan dalam Kertas Data JPM siri ke-13, tahun 1977.
Profesor Wan Abdul Kadir Wan Yusuf telah memanfaatkan bahan ini semasa kajian peringkat Doktor Falsafah tentang budaya popular. Pada tahun 1979, koleksi ini diserahkan kepada PUM untuk tujuan pemuliharaan.
Selain koleksi artifak budaya, Muzium Etnografi Melayu turut menyimpan bahan-bahan berkaitan tokoh dan sejarah Pengajian Melayu, termasuklah barangan antik yang pernah digunakan dalam pentadbiran, pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di JPM seperti mesin taip, alat perakam suara, kamera dan mesin slaid projektor, dan gramofon.
Dari semasa ke semasa, usaha baik pulih bahan-bahan ini turut dijalankan untuk dimanfaatkan sebagai rujukan, penyelidikan dan pameran. Terkini, Muzium Etnografi Melayu menjalankan projek baik pulih sebuah gramofon antik koleksi JPM.
Pameran yang merupakan kesinambungan daripada penyelidikan sejak zaman JPM ini mahu mengangkat piring hitam dan gramofon dengan perhatian sewajarnya sebagai khazanah universiti, selain menjadi contoh hubung kait antara sumbangan ahli akademik dalam bidang penyelidikan, peranan perpustakaan memelihara, serta tanggungjawab Muzium Etnografi Melayu memasyarakatkan koleksi tersedia.
Usaha tersebut juga secara tersirat memaparkan sejarah perkembangan teknologi rakaman analog, pengaruh budaya popular dalam masyarakat Melayu, perkembangan awal industri rakaman tanah air, nostalgia dunia hiburan, penyanyi dan lagu-lagu piring hitam Melayu sebelum merdeka.
Secara khususnya, Pameran Piring Hitam 78rpm: Lagu-lagu Melayu Klasik ini bertujuan mengimbau sejarah industri rakaman, penyanyi dan lagu-lagu piring hitam Melayu, sebagai wadah pertemuan pengumpul antik, peminat lagu-lagu Melayu klasik, serta memasyarakatkan koleksi muzium dan perpustakaan untuk para penyelidik dan pelajar.
Bahan-bahan sokongan yang berkaitan dengan tajuk pameran seperti jenis dan komponen gramofon, sampul piring hitam antik, serta buku dan poster. Kesemuanya diperoleh dengan kerjasama beberapa orang pengumpul barangan antik seperti The Lady’s Picker, serta Madam Antique and Her Treasure Box, dan Irama Malaya juga.
Perasmian Pameran Piring Hitam 78rpm: Lagu-lagu Melayu Klasik telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Mashrom Muda, Timbalan Dekan Pembangunan APM di Bilik Mesyuarat Kiambang, APM pada 16 Julai lalu.
Turut hadir Puan Zanariah Saupi, wakil pustakawan UM; serta Encik Abdul Malik Ahmad, dari Fakulti Industri Kreatif, Universiti Tunku Abdul Rahman; Encik Md. Hanif Hamzah (Irama Malaya), Puan Nor Azlinawati Zakaria (Madam Antique & Her Treasure Box), Dr. Marzudi Md. Yunus (APM, UM), dan Encik Anis Samad, kurator pameran berkenaan.
Dalam ucapan beliau, Dr. Mashrom mengucapkan tahniah kepada penganjur pameran, dan berharap matlamatnya dapat dicapai. Beliau turut menghargai usaha penganjur yang mahu mengembalikan semula keriangan dan perkongsian maklumat berguna daripada kewujudan piring hitam suatu masa dahulu.
Puan Zanariah menerusi ucapan alu-aluan beliau, turut berharap pameran berjaya memaparkan fakta, serta makna ilmiah dan nilai sentimental piring hitam dalam kalangan pengunjung khususnya dan masyarakat umumnya.
Selepas majlis perasmian pameran, diadakan pula Forum Nostalgia Piring Hitam di tempat yang sama, dengan Encik Abdul Malik, Encik Md. Hanif, dan Puan Nor Azlinawati sebagai ahli panel, serta Dr. Marzudi (pemudah cara).
Tanpa bayaran masuk, Pameran Piring Hitam 78rpm: Lagu-lagu Melayu Klasik dibuka dari Isnin hingga Jumaat (hari bekerja), pukul 9 pagi hingga 5 petang.