Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia sekali lagi berjaya mengukir kejayaan di persada dunia dengan penyenaraian tapak warisan arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah, Sarawak sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan semalam, keputusan pengiktirafan ini telah diumumkan pada pukul 7.00 petang waktu tempatan ketika sesi 46th World Heritage Committee Meeting yang berlangsung pada 21 hingga 31 Julai 2024 di New Delhi, India.
Tambahnya, pengiktirafan berprestij ini telah diputuskan oleh 21 ahli negara anggota World Heritage Committee yang dipengerusikan oleh H.E Ambassador Mr. Vishal Sharma wakil negara India.
“Usaha pencalonan tapak warisan arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah ini telah bermula sejak tahun 2019. Dokumen senarai tentatif telah dihantar kepada pihak UNESCO pada 22 Januari 2021,” kata MOTAC dalam kenyataan tersebut.
Dokumen pencalonan telah dikemukakan secara serahan tangan kepada pihak sekretariat UNESCO di Paris, Perancis pada 31 Januari 2023.
Menurut MOTAC lagi, dengan pengiktirafan tapak warisan arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah ini, Malaysia secara keseluruhannya telah berjaya menyenaraikan lima Tapak Warisan Dunia UNESCO termasuklah Taman Negara Gunung Mulu pada 2000, Taman Kinabalu (2000), Bandar Bersejarah Selat Melaka, Melaka dan George Town (2008) dan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong (2012).
“Penyenaraian di bawah World Heritage List UNESCO dikejar oleh seluruh negara di dunia kerana status tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi yang dapat diperoleh di peringkat dunia bagi tapak warisan,” kata MOTAC.
Tambahnya, selain mempromosi dan mengetengahkan tapak warisan negara di peringkat global, pengiktirafan ini turut menunjukkan komitmen Malaysia dalam melindungi tapak-tapak warisan tempatan.
Secara tidak langsung, katanya, pengiktirafan ini juga akan meningkatkan keterlihatan Malaysia di mata dunia sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong yang seterusnya akan memberikan impak positif kepada industri pelancongan yang berdaya saing serta membuka pelbagai peluang ekonomi melalui industri-industri lain yang berkaitan.
Pihak MOTAC mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan usaha pencalonan dapat berjalan dengan lancar.
Selain itu, katanya, kerjasama turut diperoleh daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) termasuklah pihak Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO Paris.
MOTAC memaklumkan Malaysia juga kini sedang dalam usaha untuk mencalonkan beberapa lagi tapak sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada masa akan dating, iaitu FRIM Forest Park Selangor, Taman Negeri Royal Belum dan Pusat Kawalan Kusta Negara.
MOTAC berkata pengiktirafan ini merupakan satu permulaan kepada semua pihak sama ada kerajaan, swasta, badan bukan Kerajaan (NGO), komuniti atau individu di Malaysia. Hal tersebut memerlukan kita untuk bersama-sama memikul tanggungjawab bagi memastikan warisan negara ini terus dilindungi dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
MOTAC turut mengharapkan pengiktirafan ini mampu memberikan nilai tambah kepada tapak warisan arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah sebagai produk pelancongan utama di Sarawak yang mampu menjanakan ekonomi kepada komuniti, negeri dan negara.