30 Julai 2024, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Komitmen dan usaha berterusan Kerajaan Negeri Melaka dalam memelihara warisan sejarah termasuk kebudayaan mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan “Best Heritage Tourism Development”.

Datuk Seri Utama Ab Rauf menyampaikan Anugerah Best Heritage Tourism Development kepada Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata menerusi agensi yang diketuai Tourism Melaka, anugerah itu diterima pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2024 itu juga merupakan hasil usaha bersama semua pihak seperti agensi pelancongan termasuk juga masyarakat setempat yang tidak jemu menyokong inisiatif yang dijalankan.

“Kami amat berbesar hati dan berbangga dengan pencapaian diterima dan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memelihara warisan serta budaya di Melaka.

“Selain meningkatkan mutu pelancongan dengan produk pelancongan yang terdapat di Melaka ini kita akan terus berusaha untuk meningkatkan pengalaman pelancongan dengan memperkenalkan produk pelancongan yang inovatif dan menarik,” katanya.

Menurutnya, majlis anjuran bersama Malaysia International Tourism Development Association (MTDA) dan Santai Travel itu menyaksikan penyertaan daripada pelbagai entiti pelancongan dari seluruh Malaysia.

“Anugerah ini diberikan berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap sumbangan Melaka dalam mempromosikan dan mengembangkan sektor pelancongan negara.

“Malah ini juga adalah penghormatan kepada  industri pelancongan dalam menyemarakkan lagi sektor pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Barisan penerima anugerah di Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2024.

Jelas Abdul Razak, anugerah Best Heritage Tourism Development diterima itu juga merupakan penghargaan kepada semua penggiat industri pelancongan Melaka yang telah berusaha keras terutamanya dalam kempen Tahun Melawat  Melaka 2024 (TMM2024).

“Malah diharap dengan anugerah diterima ini ia akan dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka dan sekaligus merancakkan ekonomi penduduk tempatan termasuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya.

Terdahulu, perasmian majlis berprestij itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.