Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kumpulan dikir barat Tabuh Pendeta, Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dinobatkan sebagai naib johan Pertandingan Dikir Barat Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur yang diadakan baru-baru ini. 10 kumpulan menyertai pertandingan ini pada peringkat saringan dan empat kumpulan telah terpilih ke peringkat akhir.
Kumpulan Tabuh Pendeta yang terdiri daripada 20 orang ahli menggabungkan pelajar dan alumni USIM. Dengan tema “Sayangi Kuala Lumpur”, Tabuh Pendeta tampil dengan persembahan unik menerusi karangan pantun yang menceritakan perihal keindahan Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Ketua kumpulan Tabuh Pendeta, Muhammad Haziq Muhammad Fadzil berkata, “Latihan yang dijalankan melibatkan masa agak singkat dan pengumpulan kesemua ahli tidak dapat diadakan selalu disebabkan ada dalam kalangan kami yang telah bekerja, namun itu bukan penghalang untuk kami berlatih bersungguh-sungguh”.
Sementara itu, Tabuh Pendeta turut merangkul Anugerah Pemuzik Terbaik. Juara pertandingan dirangkul oleh kumpulan Warisan Seri Samudera yang membawa pulang trofi dan wang tunai RM5000, manakala Sari Adi Ratna mendapat tempat ketiga dengan memenangi wang tunai RM2000 berserta trofi.
Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh dan turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Zahir Hassan. Pertandingan akhir itu turut dimeriahkan dengan persembahan oleh artis jemputan seperti Din Manjo, Eda Ezrin, Mek Yun dan kumpulan Arjunasukma.