Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Hanafi Mohd Yusof
Melaka – “Masyarakat Peranakan merupakan lambang perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian tetapi tetap bersatu padu.”
Demikian ucapan Timbalan Menteri Perpaduan Negara Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy Kandasami sewaktu merasmikan Festival Peranakan Malaysia 2024 pada hari ini.
Bertempat di Pusat Beli-belah The Shore, Bandaraya Melaka, telah berlangsung Majlis Perasmian Festival Peranakan Malaysia yang dianjurkan oleh Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Warisan Negara Zon Selatan, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Melaka, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Melaka, Femvity Global, The Shore Shopping Gallery dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy Kandasami, dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa:
Penganjuran festival ini bukan sahaja dapat meraikan kepelbagaian seni, makanan dan pakaian tradisional, tetapi turut mendekatkan masyarakat dengan nilai sejarah dan nilai murni yang diwarisi oleh masyarakat Peranakan.
Selain itu, menurut Yang Berhormat Senator Puan Saraswathy lagi, agenda perpaduan nasional menerusi Pelan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Rakan Perpaduan (Friends of Unity) merupakan langkah yang diambil oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) untuk melaksanakan program perpaduan dalam kalangan masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.
Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, YBhg. Dato’ Ronald Gan Yong Hoe, dalam ucapannya pula memaklumkan bahawa:
Keistimewaan yang ada pada masyarakat peranakan ini perlu diusahakan agar dapat dilestarikan kepada generasi seterusnya, contohnya berkaitan dengan warisan pantun yang dimiliki oleh masyarakat Peranakan Baba Nyonya di negeri Melaka ini. Program yang dilaksanakan dalam festival ini dapat menyerlahkan minat dan memberikan penghargaan kepada pelbagai lapisan masyarakat terhadap usaha mengekalkan warisan ini.
Manakala Pengarah DBP Wilayah Selatan, Tuan Haji Mohd Riduwan Wahab dalam ucapannya sebagai rakan penganjur bersama mengatakan bahawa:
DBP akan sentiasa memberikan sokongan dan meraikan usaha merealisasikan kegiatan bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, khususnya melalui penganjuran festival ini. Program yang dilaksanakan ini berupaya meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap bahasa dan sastera kebangsaan.
Turut diadakan Forum Bicara Peranakan bertajuk “Bulat Air kerana Pembentung, Bulat Kata kerana Muafakat” yang disampaikan oleh empat orang ahli panel, iaitu Naib Pengerusi Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Encik Lee Yuen Thien; Setiausaha Kehormat Kuil SPVM dan Kaum Chetti Melaka, Encik T. Sithambaram Pillay; Penasihat Kumpulan Tarian Dommarina Kebudayaan Portugis Melaka, Encik Joseph Sta Maria; Presiden Persatuan Siam Malaysia, Encik Sam Maark Suvanphet; dan moderator, Encik Azimin Daud A.M.N., Perancang Bahasa DBP.
Antara pengisian program bersempena dengan Festival Peranakan Malaysia ini termasuklah Pertandingan Ratu Kebaya Cilik Berpantun, Melukis Poster Berdasarkan Pantun, Pertandingan Jejak Maklumat Bahasa Baba Nyonya dan Pertandingan Identiti Peranakan Baba Nyonya.