Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBachok – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2024 pada 1 hingga 3 Ogos di Pantai Irama Bachok, Kelantan.
Menurut JKKN, matlamat utama penganjuran festival ini adalah untuk mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan sebagai satu daripada produk industri pelancongan Negeri Kelantan serta menyemarakkan kesenian, kebudayaan dan tradisi masyarakat tempatan kepada masyarakat luar.
“Di samping itu, usaha tersebut juga merupakan langkah untuk menjadikan Negeri Kelantan sebagai sebuah negeri yang masih terpelihara dengan kesenian tradisionalnya,” kata JKKN dalam satu kenyataan.
JKKN berkata, penganjuran program kali ke-7 ini telah memilih Bachok sebagai tempat pelaksanaan program FKRK yang sebelum ini dilaksanakan di Tumpat.
Tambahnya, pemilihan lokasi ini bertujuan untuk memberikan peluang dan ruang kepada kawasan jajahan lain di negeri Kelantan untuk merasai kemeriahan FKRK.
Menurut JKKN lagi, pelbagai pengisian menarik dilaksanakan dalam festival kali ini seperti pameran, jualan dan demonstrasi, sukan dan permainan, pencungkilan bakat, malam kerohanian, perkhidmatan komuniti, persembahan kebudayaan dan kesenian serta malam kemuncak, iaitu Majlis Penutupan FKRK 2024 yang telah diserikan dengan pelbagai pengisian kesenian yang terdapat di Kelantan.
Pada tahun ini juga terdapat beberapa aktiviti baharu yang diadakan seperti aktiviti Jalan untuk Sihat, Pertandingan Sepakan Penalti, Bola Tampar Pantai, Nasyid, Bike Nation, Pertandingan Ayam Ratu serta Pertandingan Beruk Pulah Nyior.
“Program ini selari dengan hasrat Malaysia MADANI untuk melahirkan masyarakat yang berjiwa ihsan, peduli dan berkasih sayang yang meraikan kepelbagaian masyarakat sehingga orang luar tertarik datang ke sini sama ada untuk melabur atau berlibur di samping menghayati kepelbagaian dalam budaya Negeri Kelantan,” tambah JKKN.
Menurut JKKN, majlis penutup yang berlangsung pada 3 Ogos 2024 yang diserikan dengan persembahan nyanyian daripada artis Yabang Khalifah, Emie Sukma Sari, Irfan Mutiara Biru, Ryan Ryzqy Ramadhan telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, YB Datuk Kamarudin Md. Nor.
Tambah JKKN, terdapat juga persembahan dikir barat dan persembahan Simfoni Pergendangan Kelantan yang menggabungkan alat muzik rebana ubi, kertuk, gendang 24 musim, muzik silat dan muzik makyung.