6 Ogos 2024, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Lagu Nasib Panjang dan Joget Si Pinang Muda membawa tuah kepada Muhammad Al-Amin Saifuddin dan Farranisha Shazwany Mohd Faizul yang menyampaikan lagu Sembawa Balik dan Joget 106 apabila masing-masing dinobatkan sebagai johan Pertandingan Akhir Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Melaka 2024 bagi kategori lelaki dan wanita.

Pertandingan yang diadakan di Panggung Seri Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka itu membolehkan kedua-dua peserta tersebut membawa pulang hadiah RM800, piala serta sijil penyertaan.

Kejayaan berganda turut diperoleh kedua-dua peserta apabila Muhammad Al-Amin dipilih sebagai pemenang Anugerah Vokal Terbaik dan Farranisha Shazwany pula memenangi Anugerah Persembahan Terbaik.

Muhammad Al-Amin Saifuddin muncul johan Pertandingan Akhir Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Melaka 2024 bagi kategori lelaki.

Naib johan kategori lelaki dimenangi oleh Muhammad Nur Azroy Azman yang menyampaikan lagu Seri Banang dan Inang Mendam Berahi, sekali gus menerima hadiah RM500, piala, dan sijil manakala Muhammad Maulid Salim yang menyampaikan lagu Burung Putih dan Zapin Ya Ladan meraih tempat ketiga.

Sementara itu, bagi kategori wanita, naib johan disandang oleh Ila Maisarah Aswan Idham (Lela Manja dan Inang Kain Songket) yang menerima hadiah RM500, piala, dan sijil manakala tempat ketiga diraih oleh Intan Nur Erisyamira Sumadi (Jalak Lenteng dan Joget Serampang Laut).

Dua peserta menerima hadiah sagu hati bagi kategori lelaki, iaitu Mohammad Adib Syakir Mohd Saif dan Ainul Danish Salahuddin manakala dua penerima hadiah sagu hati kategori wanita, Adriena Aisha Adrul Nizam dan Zulaikha Aryani Hamzah, masing-masing membawa pulang RM200 dan sijil.

Turut hadir menyaksikan pertandingan itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohd Radzi Omar yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang dan Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias.

Farranisha Shazwany Mohd Faizul menerima hadiah daripada Mohd Radzi selepas dinobat sebagai johan Pertandingan Akhir Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Melaka 2024  bagi kategori wanita.

Menurut Ezlina, JKKN Melaka berhasrat untuk melahirkan ramai bakat anak muda yang meminati serta memartabatkan irama Melayu asli di peringkat yang lebih tinggi.

“Pertandingan ini turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan Senandung Anak Melaka daripada Kumpulan Kesenian JKKN Melaka, persembahan solo violin lagu Lemak Manis oleh Adawiyah, nyanyian lagu Kwek Mambo oleh Suffian Khirham dan Tarian Inang Pantun daripada Kumpulan Kesenian JKKN Melaka,”katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.