6 Ogos 2024, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Muzium Negara Malaysia mengadakan pameran khas bertemakan Raja Kita. Pameran ini secara tidak langsung dapat mempererat hubungan antara institusi raja dengan rakyat di negara ini.

Lebih daripada 272 koleksi institut diraja dipamerkan dalam Pameran Raja Kita yang berlangsung selama dua bulan ini.

Pelbagai koleksi berkaitan Yang di-Pertuan Agong, iaitu Regalia Persekutuan serta koleksi Kesultanan Johor termasuklah alat kebesaran diraja telah dibawa khas ke Muzium Negara bersempena dengan pameran ini. Turut dipamerkan ialah koleksi peribadi milik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Pameran Raja Kita berlangsung dari 25 Julai 2024 hingga 29 September 2024 di Galeri 1 dan Galeri 2, Muzium Negara Malaysia, Kula Lumpur.

Orang ramai seharusnya tidak melepaskan peluang untuk melihat dengan lebih dekat barangan yang menjadi saksi sejarah institut kesultanan negara dan jarang-jarang dipertontonkan kepada umum sebelum ini. Antaranya termasuklah kertas undi dan tempayan yang digunakan untuk membakar kertas undi sebaik sahaja upacara memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong selesai diadakan.

Koleksi ini semestinya berharga kerana membuktikan keunikan sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dan sistem raja berperlembagaan yang telah diamalkan di negara kita sejak sekian lama.

Pengunjung juga dapat melihat dengan lebih dekat alat kebesaran negeri Johor yang dibawa khas untuk dipamerkan di ibu negara.  Antara yang dibawa langsung dari negeri Johor termasuklah Cogan Agama dan Cogan Alam yang menjadi lambang kebesaran seseorang raja yang memerintah.

Lebih menarik, koleksi peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim seperti motosikal Harley Davidson dan kereta beroda tiga yang digunakan baginda sewaktu Kembara Mahkota Johor juga dipamerkan.

Kereta beroda tiga yang digunakan baginda Yang di-Pertuan Agong ketika Kembara Mahkota Johor 2017.

Selain itu, sentuhan tangan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dalam seni lukis dan penulisan juga menjadi tarikan dalam pameran ini.

Pameran Raja Kita yang sedang berlangsung dan akan berakhir pada 29 September 2024 ini diadakan di Galeri 1 dan Galeri 2, Muzium Negara Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma untuk pameran khas ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.