Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – 200 orang murid orang asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 14 Tapah, Perak terpilih menyertai program Pemindahan Kepakaran Bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) yang dianjurkan oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baru-baru ini.
Pengarah program, Muhammad Izz Khairol Bahry berkata, program yang dianjurkan kerana mereka amat cakna terhadap pendidikan murid terbabit yang melibatkan murid darjah tiga hingga enam sekolah tersebut.
Menurut Muhammad Izz lagi, menerusi program itu UTeM berkongsi akan kepentingan program STEM kepada anak orang asli pada peringkat sekolah rendah dengan menggunakan pendekatan berbeza dengan mendedahkan teknologi terkini seperti dron, pencetakan 3D, kereta solar dan pen pencetak 3D kepada peserta.
“Kita mengajar mereka teknik mengendalikan dron, menggunakan pencetak 3D dan membina kereta solar, pelajar bukan sahaja tertarik dengan bidang ini tetapi mendapat keyakinan dan motivasi untuk berjaya dalam teknologi dan kejuruteraan.
“Agenda ini bukan sahaja meningkatkan minat pelajar terhadap STEM, malah berjaya menyuntik inspirasi mereka untuk mencapai cita-cita tinggi dan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar.
“Program ini memberikan mereka ilmu pengetahuan yang sukar diperoleh di sekolah biasa kerana mereka terlibat secara langsung dan praktikal merasai pengalaman teknologi terkini,” katanya.
Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) UTeM, Dr. Nadlene Razali pula berkata program tersebut merupakan kerjasama antara FTKM, Persatuan Pelajar Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (MeTECH), Makers@UTeM, Pusat Kolaborasi RICE UTeM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan warga SK Batu 14 Tapah.
Menurutnya, pendidikan STEM ialah elemen yang dapat mencorakkan kehidupan lebih cemerlang, sokongan jitu serta berterusan menerusi pendidikan STEM juga menjadi dimensi yang mampu mengangkat komuniti orang asli mencapai kemajuan yang sama dengan masyarakat di luar sana.
Sementara itu Penolong Kanan Pentadbiran SK Batu 14, Sarina Metuhu berterima kasih kepada UTeM yang sudi menjayakan program tersebut bagi membuka minda pelajar berkaitan dengan pendidikan STEM.
“Kami amat berbesar hati dan sentiasa memberikan sokongan serta galakan sepenuhnya kepada pelajar untuk mengambil peluang ini bersama pihak universiti.
“Pendedahan begini mengajar pelajar-pelajar kami faham tentang kepentingan STEM untuk berfikir secara logik dan analitis, pengalaman ini turut membantu dalam kehidupan seharian pada masa ini,” katanya.