Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Festival Peranakan Malaysia 2024 melabuhkan tirai semalam dengan semangat akan terus berganding bahu dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai paksi perpaduan negara.
Majlis penutupan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Wong Chun Wai, Pengerusi BERNAMA. Dalam ucapannya beliau mengucapkan tahniah kepada Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia yang telah berjaya melaksanakan penganjuran festival ini. Beliau turut menzahirkan kekagumannya terhadap kesatuan, kesungguhan dan komitmen yang telah didedikasikan untuk menemukan masyarakat peranakan di negeri ini dan dari serata negara.
Beliau turut menyatakan festival sedemikian menjadi satu medium terbaik sebagai wahana perpaduan dalam konteks Malaysia MADANI. Selain itu festival ini turut berupaya menyatukan masyarakat berbilang kaum dan dapat mempamerkan keunikan budaya Peranakan.

YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP menyatakan festival ini menjadi medan terbaik bagi membuktikan bahawa kemampuan bahasa Melayu berada dalam jalur masyarakat semakin utuh dalam usaha membangunkan negara sekali gus membuktikan bahawa bahasa Melayu ialah wadah yang tepat sebagai wahana utama dalam pembinaan negara.
Beliau yang mewakili Ketua Pengarah DBP dalam majlis ini berharap agar festival ini dapat merealisasikan hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rantau ini dan juga menjadikan bahasa pengantara dan berdaya saing pada peringkat global.
Bagi Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, YBhg. Dato’ Ronald Gan Yong Hoe, beliau dan semua masyarakat Peranakan akan terus melaksanakan pelbagai usaha agar warisan yang dimiliki oleh masyarakat Peranakan akan terus dapat dilestarikan.
Dalam fokus meningkatkan pelbagai sudut ke arah masa depan masyarakat Peranakan secara keseluruhanya, beliau turut menyatakan masyarakat Peranakan hari ini bukan sahaja berasimilasi dari sudut bahasa, budaya, warisan, makanan, seni dan lain-lain, tetapi seperti sudah memeluk erat citra budaya masyarakat Melayu di negara ini.

Dalam majlis ini juga YBhg. Dato’ Seri Wong telah menyampaikan cenderamata kepada barisan juri dan juga hadiah kepada pemenang pertandingan bagi hari kedua festival ini, iaitu Jejak Maklumat Bahasa Baba Nyonya, Pertandingan Melukis Poster Berdasarkan Pantun dan Pertandingan Ratu Cilik Kebaya Nyonya Berpantun.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YBrs. Dr. Azizul Haji Ismail, Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Encik Alvin Oon, karyawan muzik Peranakan Baba Nyonya dari Singapura serta gandingan duo penghibur Peranakan Seri Panggung Bibik Entertaiment.