Oleh Keh Jing Yun
7 Ogos 2024, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangkok – Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Fakulti Sains Kesihatan telah menjayakan program mobiliti antarabangsa ke Universiti Chulalongkorn, Thailand.

Program yang bertemakan “Break Barriers, Exchange Cultures” ini dikenali juga sebagai Syed Nasir Cross-Cultural Odyssey of Nurturing Exchange (Syed Nasir CONNECTS), melibatkan 20 orang pelajar dalam menjayakan agenda Kolej Akademia UKM sekali gus menjadi program yang meraikan sinergi kolej kediaman dan fakulti dalam pembangunan kemahiran insaniah pelajar.

Delegasi Syed Nasir CONNECTS yang menyertai program mobiliti antarabangsa ke Universiti Chulalongkorn, Thailand.

Program ini merupakan aktiviti pertama bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-25 Penubuhan Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), UKM.

Program Syed Nasir CONNECTS bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berjiwa global sekali gus memenuhi moto UKM, Ilmu, Mutu dan Budi. Program lima hari ini padat dengan pelbagai aktiviti yang memberikan peluang pertukaran budaya antara pelajar Malaysia dengan Thailand. Antara aktiviti tersebut termasuklah eksplorasi seni kebudayaan, makanan tradisi, pakaian tradisi, bahasa dan seni bina.

Pada tahun ini, delegasi turut melawat pejabat United Nation serantau, iaitu The Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP) yang merupakan hab yang menggalakkan pembangunan lestari (SDG) dan pengurusan sumber di rantau Asia Pasifik.

Taklimat peranan ESCAP dalam mempromosikan pembangunan lestari (SDG) dan kerjasama serantau Asia Pasifik.

“Program mobiliti ini memperluaskan perspektif terhadap kepelbagaian budaya sekali gus memperkukuh peranan saya sebagai mahasiswa yang bakal menerajui negara. Ini selaras dengan visi UKM dalam membentuk mahasiswa dinamik, berilmu dan terkehadapan,” kata Saw Zi Xuan, peserta program dari UKM.

Thidarat Promjabok, peserta dari Universiti Chulalongkorn pula berpendapat bahawa program pertukaran budaya ini telah mengeratkan hubungan pelajar antara dua buah universiti. Melalui program ini, beliau menemui keindahan persamaan dan perbezaan budaya antara dua buah negara.

Menurut Pengetua Kolej Tun Syed Nasir, Profesor Madya Dr. Mohd Razif Shahril, program mobiliti secara langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran serta kemahiran kepimpinan para graduan.

“Ini merupakan kali kedua Kolej Tun Syed Nasir mengadakan program Syed Nasir CONNECTS yang bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang beraspirasi kebangsaan, kompeten, berdaya saing dan inovatif. Selain itu, program ini juga dapat menjalinkan hubungan baik antara dua universiti,” katanya.

Persembahan kebudayaan oleh delegasi UKM di Universiti Chulalongkorn.

Program ini disempurnakan oleh Dr. Panupong Thammachoti, Penolong Dekan, Fakulti Sains, Universiti Chulalongkorn dan turut disertai oleh pelajar Fakulti Sains, Universiti Chulalongkorn.

Turut hadir ialah YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Razif Shahril, Pengetua Kolej Tun Syed Nasir, UKM, Dr. Siti Hajar Zuber, Timbalan Pengetua Kolej Tun Syed Nasir, UKM, Dr. Mohd Sham Othman, Penolong Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Sains Kesihatan, UKM serta pegawai pengiring.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.