Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – “Saya berasa bangga dengan usaha warga kementerian dalam memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai wadah perpaduan kaum di negara ini kerana setiap jabatan dan agensi di bawahnya telah memainkan peranan yang begitu aktif dalam pembudayaan bahasa Melayu.”
Demikian ucap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024 peringkat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada 6 Ogos 2024 di Dewan Sanggar Pujangga, MOTAC, Putrajaya.
Menurut beliau, pelaksanaan program ini mengambil pendekatan merakyatkan bahasa kebangsaan dan sastera Melayu dengan pelibatan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Beliau menegaskan bahawa MOTAC memandang serius hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menjayakan inisiatif pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan (2020–2030) yang melibatkan semua kementerian dan agensi kerajaan.
YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan juga menyatakan bahawa penguasaan bahasa Melayu yang baik dan usaha menyebarluaskan peranan bahasa kebangsaan harus dititikberatkan bukan sahaja di sektor awam tetapi juga di sektor swasta supaya bahasa Melayu dapat diangkat sebagai satu daripada bahasa utama di ASEAN dan Malaysia dapat menjadi pusat persuratan Melayu terulung di dunia.
Beliau turut memetik kata-kata YAB Perdana Menteri bahawa dalam konteks Malaysia MADANI, penguasaan ekonomi dan digital tidak dapat mematangkan negara tanpa pemerkasaan budaya, dengan pemerkasaan bahasa sebagai tonggak utamanya.
Oleh itu, beliau berharap agar seluruh warga kementerian, jabatan dan agensi MOTAC akan terus menyemarakkan kesedaran kolektif bangsa untuk membentuk keperibadian kebangsaan melalui bahasa kebangsaan.
Program DBK anjuran bersama MOTAC dan DBP kali ini merupakan antara program tahunan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakat khususnya penjawat awam terhadap bahasa kebangsaan menerusi pelaksanaan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan pada semua peringkat kementerian.
Sesi Peka Bahasa Bersama-sama Cikgu Zack Kirana yang membuka tirai majlis telah berjaya menarik perhatian peserta di dalam dewan sehinggakan sesi selama sejam itu langsung tidak terasa lama.
Ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil agensi MOTAC turut tidak melepaskan peluang untuk menyertai permainan Roda Bahasa. Permainan “Roda Bahasa” yang turut dijadikan sebagai gimik pelancaran dalam majlis tersebut telah berjaya mengasah dan mempertajam kemahiran berbahasa serta menguji pengetahuan para peserta.
Majlis tersebut turut disajikan dengan persembahan nyanyian oleh Siso Kopratasa dan diserikan lagi dengan persembahan khas daripada Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Majlis tersebut juga dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah yang sememangnya dinanti-nantikan oleh semua peserta.
Pelbagai reruai demonstrasi dan jualan turut disediakan sepanjang majlis perasmian ini seperti jualan buku oleh DBP dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, jualan dan demonstrasi mencanting batik dan menganyam rotan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, demonstrasi dan edaran makanan warisan kuih bunga pudak dan kuih serabai oleh Jabatan Warisan Negara, edaran makanan warisan mi kari dan teh tarik oleh rangkaian Hotel Seri Malaysia, kuiz menyusun perkataan oleh ASWARA, persembahan akustik tradisional oleh Istana Budaya serta demonstrasi dan jualan seni kaligrafi dan karikatur oleh Balai Seni Negara.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, YBhg. Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.