Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – Sebanyak 10 kolej, iaitu empat Kolej MARA (KM) dan enam Kolej Profesional MARA (KPM) akan menyertai Pertandingan Teater Muzikal Qasirah di Panggung Seri Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka dan KPM Bandar Melaka bermula 9 hingga 11 Ogos ini.
Pertandingan yang dianjurkan oleh KPM Bandar Melaka dan Bahagian Pendidikan Tinggi MARA itu turut mendapat kerjasama JKKN Melaka,Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Muafakat Cawangan KPM Bandar Melaka.
Penyelaras pertandingan, Abdullah Long berkata, Pertandingan Teater Muzikal Qasirah yang juga dikenali dengan nama Minds of Medina Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2024 itu bertemakan Tokoh-Tokoh Agong dalam Sejarah Kegemilangan Islam.
Menurutnya, antara objektif penganjuran pertandingan itu adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang garis panduan hiburan dalam Islam melalui Pertandingan Teater Muzikal Islamik yang diadakan.
“Pertandingan juga bertujuan memupuk semangat persaingan yang sihat dalam kalangan peserta yang bertanding, memberi peluang kepada setiap kolej untuk belajar dan berkongsi pengalaman antara satu sama lain serta menunjukkan komitmen Institusi Pendidikan MARA dalam menjadikan hiburan yang diadakan berteraskan garis panduan hiburan dalam Islam yang ditetapkan,”katanya.
Abdullah berkata, empat KM yang akan menyertai pertandingan itu ialah KM Banting, KM Kulim, KM Seremban dan KM Kuala Nerang manakala enam KPM, iaitu KPM Beranang, KPM Ayer Molek, KPM Seri Iskandar, KPM Bandar Melaka, KPM Indera Mahkota dan KPM Bandar Penawar.
Katanya, setiap pasukan yang mewakili kolej masing-masing akan diwakili oleh 25 orang pelajar dan mereka akan mempersembahkan Teater Muzikal Islamik itu berteraskan lima acara, iaitu lakonan, nyanyian kerohanian, sajak, syair dan potongan ayat al-Quran.
“Bersempena dengan pertandingan teater ini, akan diadakan juga Bicara Santai Bersama Selebriti pada 10 Ogos jam 8 malam di Dewan KPM Bandar Melaka yang akan menampilkan Faizal Ismail dan Mawi.
“Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Encik Razlan Haji Samsuri pada 11 Ogos di Dewan KPM Bandar Melaka,”katanya.