Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab memelihara kemerdekaan yang diwariskan oleh Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang juga Perdana Menteri pertama Malaysia.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kini menjadi tanggungjawab rakyat untuk bersama-sama memelihara kemerdekaan ini sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat.
“Kemerdekaan diwariskan Tunku Abdul Rahman hendaklah sentiasa dipelihara sepertimana yang disebut oleh Almarhum dalam pemasyhuran kemerdekaan 67 tahun lalu – ‘Negara kita ini hendaklah kekal merdeka dan berdaulat, dan seluruh rakyatnya aman, sejahtera dan sentosa selama-lamanya,” katanya dalam teks ucapan beliau yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof pada Program Mengenang Negarawan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Negarawan Sejuta Jasa.
Tambah beliau, hal tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia Madani yang sentiasa saling hormat menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban yang diseliputi sifat ihsan, saling membantu bagi memastikan masyarakat hidup sejahtera tanpa bersengketa.
Beliau berkata Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika berucap di Dewan Rakyat pada Februari 1972 juga mengakui ketokohan Tunku Abdul Rahman yang muncul pada saat penting dalam sejarah perjuangan bangsa.
Menurutnya, selain tokoh penting kemerdekaan negara, Almarhum juga banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan agama Islam di dalam dan juga luar negara.
“Tunku juga mengilhamkan pertandingan membaca al-Quran di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Pertandingan tahunan ini masih berterusan sehingga ke hari ini dan dikenali sebagai Majlis Tilawah al-Quran,” katanya.
Beliau turut menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) bagi membantu dan memberikan bimbingan kepada golongan mualaf selain menyertai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang kini dikenali sebagai Pertubuhan Kerjasama Islam dan menjadi Setiausaha Agung OIC yang pertama.
Katanya, bagi mengenang jasa dan sumbangan tokoh-tokoh negara serta melahirkan masyarakat yang celik sejarah dan mempunyai jati diri yang kukuh, kerajaan telah meluluskan pembinaan institusi arkib memorial yang ditadbir urus melalui Arkib Negara Malaysia (ANM).
Beliau memaklumkan hingga kini sebanyak 11 buah memorial, galeria, pustaka, rumah kelahiran dibangunkan yang dibuka kepada orang ramai untuk lawatan dan salah satunya ialah Memorial Tunku Abdul Rahman Putra yang terletak di Jalan Dato Onn yang telah dirasmikan pada 10 November 1994 dan tahun ini genaplah 30 tahun usia memorial ini dibina.
Sementara itu, Menteri Perpaduan, YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) telah ditubuhkan pada tahun 1966 sebagai sebuah badan berkanun bagi menyediakan bantuan kewangan bagi pelajar-pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Tambah beliau, sejak penubuhannya, YTAR telah membantu sebanyak 9,000 orang pelajar dan menyasarkan untuk membantu lebih 1,000 orang pelajar bagi tempoh lima tahun akan datang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi seterusnya menjadi pemimpin muda.
“Kini YTAR dibawah tanggungjawab Kementerian Perpaduan Negara akan terus memberikan fokus menyediakan bantuan pendidikan melalui Biasiswa Tunku Abdul Rahman serta menjalankan program, iaitu Closing The Gap dan Future Ready yang akan meningkatkan kebolehpasaran graduan B40,” jelas beliau.