Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – Dalam usaha memartabatkan kesenian dan kebudayaan di negeri Melaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Melaka mengambil inisiatif mengadakan program Pusat Bimbingan Hujung Minggu (PBHM).
Pengarah JKKN Negeri Melaka, Ezlina Alias berkata program yang dianjurkan JKKN itu bertujuan untuk mencungkil bakat baharu dalam seni dan budaya rakyat negeri Melaka khususnya dalam aktiviti kesenian.
Menurut Ezlina, antara program PBHM yang diadakan termasuklah kelas tarian, kelas teater, seni tari, silat, gasing dan nyanyian.
“JKKN Melaka telah mengadakan kelas latihan kesenian yang diadakan pada setiap hujung minggu dan program ini telah diperbaharui sejak hujung tahun lalu dan sehingga kini mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada pelbagai lapisan umur di negeri ini.
“Kelas ini antara lain memberi tunjuk ajar kepada peserta terutama dalam bidang nyanyian vokal, tarian, lakonan dan sebagainya,”katanya.
Menurut Ezlina, sebelum ini kelas yang diadakan dilaksanakan secara dalam talian dan bersemuka dan JKKN Melaka telah memperbaharuinya supaya peserta terlibat dapat mencungkil bakat mereka menerusi penganjurannya pada setiap hujung minggu.
“Pelbagai skop kesenian difokuskan pada PBHM antaranya kelas teater, seni tari, silat, gasing, nyanyian yang diadakan di Kompleks JKKN ini.
“Alhamdulillah setakat ini program ini masih menerima sambutan dan kita menyasarkan kira-kira 100 peserta untuk menyertainya dengan pembahagian lebih kurang 20 orang peserta untuk setiap kelas,” katanya.
Ezlina menjelaskan, PBHM diadakan itu tidak memerlukan banyak peserta bagi memudahkan jurulatih untuk berinteraksi dan menumpukan bakat terpendam peserta dengan lebih mendalam.
“Mana-mana pihak yang berminat, boleh mendapatkan maklumat lanjut pada pengumuman berkaitan PBHM yang disiarkan di mana-mana laman media sosial JKKN Melaka,” katanya.