Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menerusi Muzium Seni Kraf Orang Asli (MSKOA) telah menganjurkan Program Citra Nusa @ Muzium: Magis Belantara 2024 yang diharapkan menjadi satu rangsangan kepada masyarakat setempat khususnya di Kuala Lumpur untuk terus menghayati erti sejarah dan ketamadunan seni masyarakat orang asli.
Demikian antara inti pati ucapan perasmian Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Datuk Azman Mohd. Yusoff bersempena dengan Walkabout Program Citra Nusa @ Muzium: Magis Belantara 2024 di Dataran Muzium Negara, JMM.
“Pelibatan komuniti artisan orang asli melalui program seperti ini diharapkan dapat menyerlahkan hasrat kerajaan meningkatkan semangat muhibah, toleransi dan sikap saling menghormati antara satu sama lain,” tambah beliau.
Menurut beliau, Program Citra Nusa @ Muzium merupakan satu inisiatif di bawah flagship Kembara Perpaduan dan digerakkan oleh JMM yang telah dirangka khusus bagi mendukung usaha mempromosikan konsep Malaysia MADANI yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Katanya lagi, Program Citra Nusa @ Muzium: Magis Belantara 2024 ini juga ialah satu platform untuk memperkukuh wadah perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui khazanah warisan negara.
“Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dengan keberagaman budaya dan berbilang bangsa serta kaya dengan warisan negara. Kesepaduan sosial dan juga kesepakatan sosial ini bukanlah bersifat statik dan wujud secara sendiri, sebaliknya mestilah dipupuk, diketengahkan dan dipertahankan secara berterusan,” ujar beliau.
Beliau turut melihat program seperti ini akan memberikan satu nilai tambah kepada keberadaan muzium di arus perdana serta percaya program ini mampu mencapai objektif untuk menyuburkan dan menyemarakkan nilai-nilai perpaduan dan semangat patriotisme menerusi penghayatan terhadap warisan sejarah, budaya dan alam semula jadi negara.
Terdahulu, Ketua Pengarah JMM, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim dalam ucapan alu-aluannya berkata, Program Magis Belantara ini akan memberikan peluang kepada masyarakat umum untuk mengenali dan mendekati unsur-unsur kebudayaan, kesenian dan warisan masyarakat orang asli dengan lebih dekat lagi menerusi persembahan kebudayaan, aktiviti demonstrasi seperti menyumpit, anyaman, ukiran, pakaian, masakan, alatan muzik, herba, permainan tradisional dan juga jualan produk orang asli.
“Program sebegini sebenarnya telah mula dilaksanakan pada tahun 2017 dan menjadi acara tahunan MSKOA. Magis Belantara 2024 merupakan sebuah program berkonsepkan “budaya yang dipentaskan” yang menghimpunkan beberapa suku kaum masyarakat orang asli di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, program kali ini melibatkan penyertaan sebanyak 110 orang masyarakat orang asli dari suku kaum Semai, Mah Meri, Temiar dan Temuan.
Program Citra Nusa @ Muzium: Magis Belantara 2024 ini yang berlangsung pada 10 dan 11 Ogos 2024 turut menyisipkan aktiviti Uniti Trail dengan melibatkan penyertaan 200 orang pelajar daripada Yayasan Sukarelawan Siswa bagi memberikan pendedahan kepada generasi muda untuk mengenali silang budaya antara masyarakat orang asli dengan lain-lain ras yang ada di Malaysia menerusi interaksi langsung peserta dengan masyarakat orang asli.
Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan termasuklah Sosio Budaya Orang Asli, Penyertaan Agensi Kerajaan dan Bukan Kerajaan, Kesenian Cara Hidup dan Warisan Orang Asli, reruai jualan dan kontemporari seperti demonstrasi Gastronomika dan Eksotika Orang Asli, demonstrasi herba, ukiran patung dan topeng, pembuatan sumpit, permainan tradisional, persembahan kebudayaan Seri Kala (Temiar), Gentaq Balai (Temuan), Bah Bola (Semai) dan Tarian Topeng Seri Panggung (Mah Meri).
Program ini juga dapat menyemarakkan lagi konsep “Faham, Hormat dan Terima” dalam menerima pelbagai perbezaan dari segi agama dan budaya yang ada di Malaysia.
Foto: FB Jabatan Muzium Malaysia