14 Ogos 2024, 22:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bahru – Forum khas bersempena dengan Sambutan 25 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) bertajuk DBPWT: Gerbang Peradaban Timur telah diadakan di Jabatan Pendidikan Kelantan, Kota Bharu.

Forum yang dipengerusikan oleh Mohd Nazmi Yaakob, pengarang Berita Harian ini menampilkan tokoh persuratan, sasterawan, budayawan dan ahli akademik kelahiran Kelantan dan Terengganu, iaitu Dato’ A.Aziz Deraman (PERADABAN), Profesor Dr. Hashim Ismail (UM) dan Profesor Dr. Abdul Halim Ali (UPSI) sebagai panel.

Kewujudan DBPWT selama 25 tahun memberikan kesan kepada bahasa dan sastera di wilayah Timur, iaitu Kelantan, Terengganu dan Selatan Thailand.

(Dari kiri), Dato’ A.Aziz Deraman, Profesor Dr. Hashim Ismail dan Profesor Dr. Abdul Halim Ali dalam forum Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur: Gerbang Peradaban.

Dato’ A Aziz Deraman berkata,  idea kewujudan DBPWT merupakan cetusan idea yang dikumpulkan oleh kumpulan penulis dalam majlis dialog anjuran DBP di Pulau Pinang dan seterusnya dijadikan pelan strategik DBP.

Kewujudan DBPWT dilihat dari sudut geopolitik dan geobudaya Kelantan, Terengganu dan di selatan Thailand yang penduduknya berbilang bangsa dan agama. Peranan DBPWT mempromosikan bahasa dan sastera Melayu membantu menyatukan masyarakat melalui identiti budaya yang dikongsi bersama.

Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian Sambutan 25 Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.

Ini penting dalam memperkukuh perpaduan dan kebanggaan terhadap warisan budaya Melayu. DBP Wilayah Timur turut memainkan peranan strategik dalam memastikan bahasa dan sastera Melayu terus berkembang dan relevan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand dengan mengekalkan nilai-nilai tradisional sambil menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam bidang ini.

Profesor Dr. Hashim Ismail melihat kewujudan DBPWT menyerlahkan lagi keistimewaan dan keunikan sastera dan budaya di Kelantan. Sejak tahun 1920-an, banyak penulis hebat dari Kelantan termasuklah Tok Kenali, Abdul Kadir Adabi, Saad Shukri, Yusof Zaky Yaacob, Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, Dr. Fatimah Busu, Norhisyam Mustafa, Rahimidin Zahari, Lim Swee Tin, S.M. Zakir, Sutung Umar RS, Mohd Affandi Hassan dan Rosli K Matari.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sastera dan budaya di negeri Kelantan memang terkenal dengan keistimewaan dan keunikan yang tersendiri. Ini adalah hasil gabungan tradisi, kepercayaan, dan amalan budaya yang telah dipelihara dan diteruskan oleh masyarakat Kelantan selama berabad-abad.

Beliau melihat antara tugas DBP adalah melahirkan pemikir dan bukan sekadar penulis. Geobudaya dan geopolitik yang menarik di Kelantan telah melahirkan banyak pemikir yang memberikan impak kepada negara. Keistimewaaan Kelantan ialah dianggap sebagai lubuk puisi kerana banyak pemuisi lahir di Kelantan dan pemikir-pemikir yang kreatif dan banyak idea dalam penghasilan sastera dan budaya disebabkan geobudaya Kelantan.

Profesor Dr. Abdul Halim Ali pula melihat penulis, penyair, dan budayawan Terengganu mempunyai cengkaman yang kuat dalam dunia sastera dan seni, mencerminkan identiti budaya dan tradisi unik yang ada di negeri Terengganu.

Pengaruh mereka dapat dilihat dalam aspek budaya dan keagamaan. Dari segi budaya contohnya, nama tempat atau jenama keropok losong di Terengganu boleh berada di negeri Kelantan bahkan negeri lain juga. Corak sastera Terengganu adalah sama dengan sastera di Kelantan. Contohnya, mempunyai penulis dalam golongan ulama dan agamawan seperti Tok Pulau Manis dan Tok Ku Tuan Besar yang  bergerak pada awal abab ke-18 sama seperti di Kelantan.

YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk “Pemugaran Peradaban Melayu melalui Pelestarian Ilmu.”

Pada peringkat awal di Terengganu, yang memulakan sejarah ialah PELITA, iaitu Persatuan Penulis Terengganu, yang kemudiannya Persatuan Sasterawan Terengganu. Tuan Sharif Putera merupakan antara individu yang awal bersama-sama A. Rashid Ngah yang memegang gagasan agar penulis-penulis di Terengganu bergabung dalam satu persatuan.

Penulis, penyair, dan budayawan Terengganu berpengaruh dalam dunia sastera dan seni, dengan karya-karya mereka yang bukan sahaja mencerminkan keunikan budaya tempatan tetapi juga memberikan sumbangan besar kepada warisan sastera Malaysia secara keseluruhannya.

Mereka telah berjaya mengekalkan dan memperkaya tradisi sastera negeri sambil menyesuaikan diri dengan cabaran zaman moden.

Persembahan dikir barat yang menghiburkan tetamu.

Profesor Dr. Abdul Halim Ali berharap agar agensi-agensi besar seperti DBPWT dan lain-lainnya di Terengganu meneruskan perhatian dan kerjasama serta tidak meninggalkan persatuan-persatuan yang ada malah menjadi rakan kongsi dengan persatuan yang ingin memantapkan sastera dan budaya untuk menanam minat anak-anak generasi muda terhadap budaya dan seni sastera.

Terdahulu, majlis perasmian Sambutan 25 Tahun DBPWT telah dirasmikan oleh Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan Pengarah DBPWT Puan Ariza Che Ismail.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.