Diterbitkan pada 15 Ogos 2024, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Jalil – Bulan keramat Ogos tidak akan lengkap jika tanpa pengisian yang melestarikan patriotisme terhadap negara yang mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun.

Selepas Ogos diraikan bersama-sama semangat kemerdekaan, hadir pula September dengan semarak cinta yang lebih besar apabila negara menyambut Hari Malaysia pada 16 September 2024.

Kumpulan Spider bakal beraksi menghiburkan peminat dalam Konsert Jiwa Malaysia 2024.

Pastinya pengisian hiburan menjadikan Ogos dan September seumpama dua bulan keraian patriotisme yang cukup istimewa berbanding 10 bulan lain.

Sehubungan itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan MND Sport & Event (MND) selaku penganjur bersama, dengan bangga menganjurkan Konsert Jiwa Malaysia 2024, bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67, dan juga Hari Malaysia ke-61.

Konsert Jiwa Malaysia (KJM) yang direncanakan berlangsung pada 7 September 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil ini dianggap sebagai bukan hiburan kosong, tetapi penuh dengan nilai yang mampu menyemarakkan semangat kemerdekaan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Untuk menguar-uarkan bintang yang bakal membangkitkan keghairahan dan semangat kemerdekaan, penganjur mengadakan sidang media KJM pada 8 Ogos lalu di Centre Court, Cangkat Pavilion Bukit Jalil.

Bella Astillah.

Dalam sidang media tersebut, Encik Iliyas Jamil, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, menyifatkan KJM2024 berbeza dengan penganjuran konsert lain. Dengan berbesar hati juga, katanya, PSM dan MND meletakkan sepenuh kepercayaan, dan tanggungjawab kepada enam buah kugiran terbaik tanah air, bersama-sama seorang penyanyi solo yang mewakili jiwa Malaysia.

“Mereka ialah kugiran legenda Spider; band kegemaran ramai Hujan, Ruffedge yang penuh warna, tiga gadis sensasi mewakili Dolla, band energetik Bunkface, dan Insomniacks, serta si kecil molek dari Sandakan, Sabah, Bella Astillah,” jelas Iliyas.

Selain bertujuan menyatupadukan seluruh generasi pelbagai lapisan masyarakat dan usia, tambah beliau, KJM2024 juga akan menjadi sebuah platform bagi anak muda meluahkan rasa cinta mereka terhadap tanah air melalui pelbagai persembahan muzik yang penuh dengan semangat patriotik.

“Bertemakan Jiwa Malaysia, konsert ini bukan sahaja akan menghiburkan para pengunjung yang kebanyakannya anak muda, malah turut mengilhamkan mereka tentang kepentingan memelihara, dan mempertahan kedaulatan negara,” ujar Iliyas lagi dalam sidang meda itu.

Tambah beliau, pembabitan Spider, Hujan, Ruffedge, Dolla, Bunkface, Insomniacks dan Bella yang mewakili setiap generasi masing-masing, dianggap relevan dalam usaha membangkitkan nilai-nilai kemerdekaan dalam masyarakat hari ini.

Kumpulan Bunkface.

Dalam majlis sidang media yang dihadiri Spider, Bunkface, dan Insomniacks itu, Bella berjanji akan memanfaatkan kesempatan yang diberi kepadanya dengan sebaik mungkin.

“Sementelah, saya secara tidak langsung seperti mewakili Sabah yang melengkapkan negara bernama Malaysia. Sejujurnya Konsert Jiwa Malaysia 2024 akan menjadi platform yang sangat bermakna bagi saya sebagai satu-satunya penyanyi wanita solo pada malam itu, serta wakil penggiat seni dari Sabah,” ujarnya.

Sambil menegaskan sama ada dari Sabah atau Johor, Bella turut berterima kasih kepada penganjur yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk berkongsi pentas dengan lima buah kugiran hebat tanah air demi menyemarakkan rasa cinta terhadap negara kita yang tercinta.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi