16 Ogos 2024, 00:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Hidup ini kita ada pilihan, tetapi kenapa orang lain pula yang menentukan pilihan kita?”

“Engkau lihat budak itu, kerjanya sedikit tetapi rehatnya banyak.”

YBhg. Sasterawan Negara (SN), Dato’ Dr. Anwar Ridhwan merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ketika berucap menyempurnakan pelancaran sesi pratonton telefilem Hari Ini Semalam.

Demikian dua dialog bersahaja dalam babak yang berbeza, namun bersifat “makan dalam” yang membuatkan penulis dapat menyimpulkan bahawa telefilem Hari Ini Semalam tidak “kosong” malah mengesankan.

Hari Ini Semalam bertemakan persahabatan dan kekeluargaan, mempunyai jalan cerita yang ringkas tetapi sarat dengan mesej positif tentang kehidupan. Melalui dialog dan babak yang bersahaja, barisan pelakon berjaya menjentik jiwa dan minda penonton untuk berfikir tentang mesej yang ingin disampaikan.

Hubungan baik antara watak Armin, Saad dan Jamilah yang tidak mempunyai pertalian darah serta hubungan berkonflik antara Jamilah dengan adik tirinya dipersembahkan dengan cemerlang sekali gus mengajak penonton untuk lebih menghargai nilai persaudaraan dan persahabatan.

Telefilem arahan Wan Mohd Afzam Wan Daud ini juga membuktikan anggapan bahawa pelakon yang kurang popular tidak mampu untuk menghasilkan impak yang berkesan adalah tidak benar.

Timbalan Pengarah Seksyen Produksi TV, RTM, YBrs. Encik Nasrul Hakim Md Noh ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Wan Mohd Afzam Wan Daud dalam sidang media selepas sesi pratonton Hari Ini Semalam menyatakan bahawa aspek kualiti lakonan dan disiplin merupakan perkara utama yang dititikberatkan dalam menjayakan telefilem arahannya berbanding dengan aspek populariti pelakon.

Barisan pelakon seperti Iedil Dzuhrie Alaudin, Kathy Azean, Amerul Affendi, Raif Irfan, Jay Iswazir dan Hamsini menurutnya telah berjaya melaksanakan tanggungjawab seperti yang diharapkan.

Hari Ini Semalam merupakan karya yang diadaptasi daripada dua puisi, iaitu karya Sasterawan Negara, Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain) berjudul Pilihan Usia dan Masa oleh Dato’ Rahman Shaari hasil kerjasama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Unit Drama TV RTM bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Barisan pelakon dan pengarah Hari Ini Semalam bergambar bersama sama SN Dato’ Rahman Shaari selepas tamat sesi sidang media.

Kerjasama RTM-DBP ini juga bertujuan untuk mengangkat karya sastera yang bermutu tinggi ke layar televisyen di samping memperkenalkan Sasterawan Negara dan karya mereka kepada khalayak.

Hari Ini Semalam bakal mengisi slot Panggung RTM pada 31 Ogos ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1 dan RTMKlik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.