Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJakarta – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) telah menganjurkan program Citra Nusa @Indonesia: Kita Serumpun di Muzium Kebangkitan Nasional, Jakarta pada 13 Ogos lalu yang dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang.
Menurut KPN, program ini dirangka khusus dalam usaha mempromosikan konsep Malaysia MADANI serta selari dengan Piagam Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN), iaitu Satu Visi, Satu Identiti serta Satu Komuniti Penyayang dan Prihatin.
Sementara itu, YB Datuk Aaron Dagang berkata dalam konteks negara serantau, Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan Istimewa kerana kedua-dua negara mempunyai persamaan yang terbentuk daripada perkongsian ikatan sejarah, budaya, kulinari serta bahasa.
“Hubungan Malaysia dan Indonesia dalam bidang permuziuman terutama melibatkan perkongsian kepakaran, program latihan, pertukaran pameran serta program silang budaya antara kedua-dua negara telah berterusan sekian lama,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau turut menyatakan sebanyak 11 program Citra Nusa yang telah dirancang untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan khazanah warisan negara dalam kalangan masyarakat.
Katanya, program yang memasuki tahun kedua ini, muzium berperanan sebagai guardian of heritage yang mengumpul, memelihara serta melestarikan koleksi sejarah, warisan, seni dan budaya.
“Pada masa ini, keseluruhan koleksi JMM berjumlah 437,142 koleksi, 74 peratus, iaitu 322,923 koleksi ini terdiri daripada koleksi arkeologi diikuti 18 peratus bersamaan 76,858 koleksi spesimen alam semula jadi dan lapan peratus, iaitu berjumlah 37,361 pula merupakan koleksi etnologi,” ujar beliau.
Beliau turut berharap agar program yang dianjurkan pada kali ini akan dapat menyuburkan semula minat masyarakat terhadap warisan bersifat ketara dan tidak ketara khususnya dalam kalangan generasi muda menerusi pendekatan meremajakan muzium melalui seni dan teknologi.
Menurut KPN, Pameran Kita Serumpun yang bermula pada 1 Ogos hingga 31 Ogos 2024 merupakan antara pengisian utama program ini yang memberikan fokus untuk meningkatkan kefahaman masyarakat Indonesia terhadap Malaysia khususnya dari aspek sejarah dan budaya sekali gus dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin antara dua negara.
Tambahnya, dalam program yang sama, turut diadakan Festival Kita Serumpun yang menampilkan persembahan kebudayaan, demonstrasi permainan tradisional, demonstrasi kulinari dan program pendidikan muzium yang melibatkan penyertaan enam buah negeri dari Malaysia, iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Kedah.
KPN turut merakamkan penghargaan kepada Muzium dan Cagar Budaya, Direktorat Jenderal Kebudayaan, Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Republik Indonesia, Muzium Kebangkitan Nasional, Tuan Yang Terutama Duta Malaysia, Malawakil, muzium-muzium negeri, semua agensi sama ada kerajaan, swasta, komuniti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama memastikan kejayaan Program Citra Nusa @ Indonesia: Kita Serumpun.