Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Perlis – Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis menerima kunjungan DiRaja oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Sabtu lalu.
Berangkat sama adalah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bersama-sama anakanda baginda berdua, iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Perlis, Bakar Hamzah, dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor, selaku Ketua Penyelaras Projek Transformasi DiRaja tersebut bersama-sama para pemimpin masyarakat setempat.
Baginda berdua meluangkan masa sekitar satu jam bagi menikmati keindahan dan keunikan Kampung Warna-warni yang merupakan kampung nelayan paling utara di Semenanjung Malaysia.
Baginda juga berkenan mendengar sembah taklimat tentang pelaksanaan program yang telah dilaksanakan bermula tahun 2020 yang diilhamkan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail oleh MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai jabatan serta agensi negeri dan juga Kerajaan Persekutuan serta pihak swasta, badan bukan kerajaan dan penduduk tempatan.
Baginda berdua turut berkenan membuat “dekorasi sajian laksa Kuala Perlis” yang merupakan juadah unik tempatan. Selain itu, baginda turut dibawa melawat ke beberapa lokasi seperti Laman Bunga Kertas, Laman Putra, Pusat Pembelajaran Komuniti MAIPs, Pengkalan Tangga Batu Raja Syed Alwi, Anjung Persinggahan Raja dan Laman Rumah Penghulu Omar.
Baginda turut berkenan merasai beberapa sajian tradisi selain laksa Kuala Perlis, iaitu garam belacan, aiskrim Malaysia Perlis dan dodol warisan, selain turut dipersembahkan Senam Tari Canggung.
Keberangkatan baginda diakhiri dengan sesi menandatangani plat keberangkatan lawatan di Rumah Wataniah Negeri Sembilan oleh Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Besar Seri Menanti dan Tunku Zain Al-‘Abidin, serta dipersembahkan tengkolok “Putra Julang Darjat” daripada MAIPs yang merupakan tengkolok rasmi kebanggaan negeri Perlis yang menjadi adat memuliakan tetamu kenamaan sebelum berangkat pulang.