Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKemajuan teknologi seperti Internet, telefon pintar, dan aplikasi e-pembaca (e-readers) semakin meluas dan merevolusikan akses kepada maklumat dan bahan bacaan. Platform digital seperti e-buku, artikel atas talian dan media sosial menyediakan pelbagai pilihan bacaan yang luas kepada pengguna.
Revolusi Industri Keempat (4IR) membawa perubahan besar dalam berbagai-bagai aspek kehidupan manusia, termasuklah cara mengakses dan mendapatkan maklumat. Satu daripada perubahan signifikan adalah peralihan daripada amalan membaca secara konvensional kepada amalan bacaan elektronik.
Budaya membaca melalui peranti elektronik kini menjadi fenomena global yang mempengaruhi cara belajar, bekerja dan bersosial. Transformasi ini memperlihatkan teknologi canggih seperti Internet, telefon pintar, tablet dan e-pembaca memudahkan akses kepada pelbagai jenis bahan bacaan, memperkaya pengalaman membaca, serta menjadikan proses pembelajaran lebih dinamik dan fleksibel.
Integrasi teknologi dalam kehidupan harian memperkayakan pengalaman membaca, membolehkan kita mengakses sumber maklumat dari pelbagai penjuru dunia hanya dengan beberapa sentuhan jari. E-buku dan aplikasi membaca digital kini semakin popular kerana menawarkan kelebihan kemampuan menyimpan ribuan buku dalam satu peranti.
Lebih daripada itu, pengguna juga dapat menyesuaikan saiz teks bacaan dan mengakses e-kamus yang disediakan dengan mudah dan cepat. Dengan kehadiran teknologi seperti e-ink yang digunakan dalam e-pembaca seperti Kindle, dapat memberikan pengalaman membaca yang lebih mirip kepada membaca buku.
Di samping itu, teknologi ini juga dapat mengurangkan ketegangan mata berbanding dengan membaca di skrin Light Emitting Diode (LED). Dengan adanya inovasi seperti ini, amalan membaca semakin berubah, sekali gus menjadikan proses pembelajaran dan pembacaan lebih efisien dan menyenangkan.
Pembacaan menggunakan peranti digital semakin digemari berbanding dengan tradisional disebabkan oleh wujudnya teknologi digital dan grafik yang ada di bahan bacaan pengguna. Integrasi multimedia seperti video, audio, dan animasi dapat meningkatkan pemahaman dan pengalaman membaca.
Pembacaan juga tidak hanya terhad kepada teks, tetapi pembaca dapat menikmati kandungan tambahan yang menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mendalam. Dengan adanya teknologi seperti ini, masyarakat lebih tertarik dengan bahan bacaan melalui peranti kerana lebih interaktif.
Merujuk kajian yang dijalankan oleh Ir. Ts. Mohd Aishamuddin Yaakob dan Ts. Nurhani Zulkifli, pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), Jitra, Kedah, sebanyak 73 peratus pelajar di Polimas cenderung memilih untuk membaca menggunakan bahan digital pada peranti elektronik, khususnya di komputer riba dan telefon bimbit, berbanding dengan kaedah lama melalui bahan cetakan. Hal ini membuktikan bahawa era digital pada hari ini telah mengubah budaya kehidupan membaca dalam kalangan pelajar.
Walaupun begitu, terdapat juga beberapa kelemahan membaca menggunakan peranti elektronik ini. Antaranya termasuklah kesan buruk terhadap kesihatan mata. Penggunaan peranti elektronik yang berlebihan mengakibatkan ketegangan mata, mata kering dan gangguan tidur akibat pendedahan kepada cahaya biru.
Cahaya biru daripada skrin peranti elektronik berupaya mengganggu ritma sirkadian yang mengakibatkan kesulitan untuk tidur. Pengguna perlu mengambil langkah berjaga-jaga seperti menggunakan penapis cahaya biru, rehat secara berkala, dan memastikan jarak yang sesuai antara mata dengan skrin untuk mengurangkan risiko ini.
Selain itu, peranti elektronik juga sering kali menjadi faktor gangguan dalam amalan membaca. Notifikasi daripada aplikasi lain seperti media sosial, e-mel dan mesej dapat mengurangkan fokus dan konsentrasi ketika membaca. Gangguan ini mengakibatkan pengalaman membaca yang tidak mendalam dan kurang produktif.
Faktor kelemahan lain termasuklah dari segi keselamatan data dan privasi peribadi yang menjadi isu penting dalam penggunaan peranti elektronik untuk membaca. Pembelian dan penyimpanan e-buku secara atas talian melibatkan risiko terhadap keselamatan data dan privasi pengguna.
Sebagai contohnya, serangan siber, kecurian identiti dan kebocoran data merupakan beberapa ancaman yang menjejaskan keselamatan pengguna. Oleh sebab itu, amat penting untuk menggunakan platform yang selamat, mengemas kini perisian secara berkala dan menggunakan kata laluan yang kuat untuk melindungi maklumat peribadi.
Budaya membaca melalui peranti elektronik telah mengubah cara masyarakat mengakses dan mendapatkan informasi pada era 4IR. Walaupun terdapat banyak manfaat, seperti aksesibiliti, kemudahan, dan interaktif, namun tantangan seperti kesihatan mata, gangguan dan masalah keselamatan data tidak wajar diabaikan.
Dalam hal ini, masyarakat perlu menyeimbangkan penggunaan teknologi dengan pendekatan yang bijak dan kesedaran terhadap kesejahteraan diri. Diharapkan dengan perkembangan teknologi yang berterusan, masyarakat dapat meningkatkan pengalaman membaca digital dan menjadikannya lebih inklusif dan bermanfaat dalam kehidupan harian.
Penulis makalah ini, Ts. Mohamad Shaufi Kambaruddin dan Ts. Abdul Aziz Ab Nasir, merupakan pensyarah di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.