Diterbitkan pada 26 Ogos 2024, 13:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu menerusi Fakulti Pengajian Kontemporari Islam dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menjayakan International Conference on Muslim Affairs and Dilemma (ICMAD) 2024.

 Persidangan dianjurkan bertujuan untuk membahaskan pelbagai disiplin ilmu yang melibatkan penyelidikan dan perbincangan isu masyarakat Muslim pada peringkat lokal dan global. Tema persidangan pada kali ini ialah “Understanding Ummah Crisis Through Global Consensus”. Persidangan secara bersemuka dan hibrid ini menghimpunkan peserta tempatan dan luar negara.

Perasmian ICMAD 2024 oleh Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Dato’ Dr. Mohd. Yusof Haji Md. Nor.

Persidangan yang berlangsung pada 24 Ogos 2024 hingga 25 Ogos 2024 ini memberikan peluang kepada ahli akademik, penyelidik serta profesional berkongsi pengetahuan dan hasil penyelidikan dalam pelbagai disiplin ilmu politik, ekonomi, sosial dan budaya yang berkaitan dengan agama Islam serta dilema yang dihadapi. Sebanyak 35 kertas kerja telah dibentangkan dalam persidangan ini.

ICMAD 2024 menampilkan Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Profesor Dr. Ali Mohieddin Al-Qaradaghi sebagai pengucap tama. Profesor Dr. Ali Mohieddin Al-Qaradaghi merupakan seorang ulama dan intelektual yang telah menulis banyak karya dalam berbagai-bagai topik, termasuklah hukum Islam, ekonomi Islam, isu sosial dan politik.

Beliau juga sering berbicara tentang pentingnya persatuan umat Islam, reformasi serta perlunya umat Islam beradaptasi dengan cabaran zaman moden tanpa membelakangkan prinsip syariah.

Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Profesor Dr. Ali Mohieddin Al-Qaradaghi sebagai pengucap tama ICMAD 2024.

Selain beliau, lima orang pembicara utama turut membentangkan kertas kerja, iaitu Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, dengan tajuk “Maslahah Perpaduan dalam Siasah Kenegaraan: Praktik bagi Konteks Malaysia”, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee yang mewakili Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), membentangkan tajuk “Peranan JAKIM dalam Pembudayaan Adaabul Ikhtilaaf di Malaysia”.

Pembicara ketiga pula ialah Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Rethwan merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang membicarakan tajuk “Peranan DBP Melestarikan Kesatuan dalam Bingkai Kepelbagaian Bangsa di Malaysia”. Pembicara keempat, Profesor Mohammad Kurjum dari Universiti Islam Sunan Ampel, Surabaya dengan tajuk “Perkembangan Pendidikan Islam dan Tantangan Pondok Pesantren di Jawa Timur Indonesia” serta Profesor Pelawat ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr. Hamidullah Marazi dengan tajuknya “Educational and Intellectual Crisis of the Ummah and Way Forward”.

Terdahulu, persidangan ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Dato’ Dr. Mohd. Yusof Haji Md. Nor. Turut hadir ialah Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato’ Dr. Fadzli Adam dan Timbalan Naib Canselor UniSZA (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Ts. Dr. Shukor Abd Razak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi