28 Ogos 2024, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Pembudayaan minat membaca dalam kalangan murid merupakan antara tujuan utama pelaksanaan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah dan Program Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka serta Sudut Bacaan MADANI di sekolah.

Demikian antara dapatan wawancara oleh wartawan cilik TVPSS SEMERDU TV, Muhammad Aqil Azfar Anizan, 12 tahun dari SK Merlimau Dua, Melaka.

Muhammad Aqil kelihatan teruja apabila berpeluang menemu bual Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari seusai perasmian Sudut Bacaan MADANI SK Merlimau Dua dan Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali ke Sekolah dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka bertempat di SK Merlimau Dua pada pagi tadi.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari semasa menyempurnakan perasmian Sudut Bacaan MADANI di SK Merlimau Dua, Melaka.

Terdahulu, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyampaikan wakaf buku kepada sekolah yang terpilih dan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Sudut Bacaan MADANI bersempena dengan majlis tersebut yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Selatan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka; Pejabat Pendidikan Daerah Jasin, Melaka; Bahagian Majalah DBP; Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP serta  Bahagian Multimedia DBP.

Ketika mengulas tentang usaha DBP mempromosikan budaya membaca dalam kalangan murid melalui sudut bacaan MADANI dan penggunaan majalah di dalam kelas serta hala tuju program yang dilaksanakan dalam era digitalisasi, YBrs. Dr. Hazami Jahari menjelaskan bahawa pewujudan sudut bacaan yang khusus dapat menempatkan bahan bacaan yang berkualiti untuk warga sekolah.

Selain itu jelas beliau, usaha tersebut dapat menggalakkan minat membaca dan menganggapnya sebagai satu keperluan untuk warga sekolah.

Menurut YBrs. Dr. Hazami Jahari, DBP sentiasa berusaha membekalkan bahan bacaan berkualiti seperti buku dan majalah secara bercetak atau digital sebagai bahan bantu pengajaran dan pembelajaran.

YBrs. Dr. Hazami juga menjelaskan bahawa, Sudut Bacaan MADANI di sekolah boleh dimanfaatkan dengan pengisian bahan bacaan terbitan DBP yang bermutu.

Adik Muhammad Aqil Azfar Anizan ketika mewawancara Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari.

Ujar beliau,

Budaya membaca dalam kalangan murid dapat meningkatkan mutu pembelajaran di dalam kelas selain meningkatkan penguasaan bahasa menerusi pelbagai bahan bacaan yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan.

Gabungan antara bahasa, pengetahuan dan minat itu akan menjadikan pelajar lebih cemerlang dalam kehidupannya, bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan dalam kehidupan seharian, serta mempunyai sahsiah yang baik selaras dengan konsep ABC (Anak yang Baik lagi Cerdik).

Tambahnya, DBP menyarankan ibu bapa agar menjadikan majalah Dewan Siswa  dan Dewan Pelajar sebagai bahan sokongan pembelajaran anak-anak.

Selain itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh membeli dan membekalkan majalah terbitan DBP untuk rujukan dan kegunaan  warga sekolah.

Persembahan tarian tradisional oleh murid-murid SK Merlimau Dua.

Menerusi program MDK, murid berpeluang untuk mengasah bakat dalam bidang penulisan dan menghasilkan karya kreatif yang boleh diterbitkan dalam majalah DBP.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah DBP Wilayah Selatan, Tuan Haji Mohd Riduwan Wahab; wakil Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Encik Nasaruddin Rahmat (Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan); Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Jasin, YBrs. Dr. Haji Mohd Alfouzii Nasir; Guru Besar Sekolah Kebangsaan Merlimau Dua, Encik Azmeer Muhtar; dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.