Oleh Hanafi Tumin
29 Ogos 2024, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 yang bakal tiba, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memupuk semangat patriotisme dalam kalangan murid dan guru menerusi penganjuran Program Eksplorasi Merdeka JPWKL @ Muzium 2024 yang berlangsung di Dataran Muzium Negara pada pagi tadi.

Program tersebut merupakan anjuran KPM menerusi kerjasama antara Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dengan Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh ketika hadir menyempurnakan perasmian program Eksplorasi Merdeka JPWKL @ Muzium 2024.

Selain bertujuan menyemai semangat patriotisme, program Eksplorasi Merdeka ini juga merupakan aktiviti untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh dalam ucapan perasmiannya berkata, “Kita berharap program ini dapat menonjolkan semangat perpaduan dan semangat kemerdekaan dalam kalangan peserta daripada pelbagai bangsa, agama dan latar belakang.”

Program Eksplorasi Merdeka JPWKL @ Muzium 2024 meriah dengan pelbagai jenis pakaian kerjaya yang digunakan oleh peserta.

YB Wong Kah Woh turut menyatakan bahawa kehadiran kira-kira 1200 peserta dalam kalangan murid-murid dan guru dalam program tersebut jelas menggambarkan kemenjadian murid-murid dari sudut keseimbangan antara akademik dengan kokurikulum seperti yang dihasratkan oleh KPM.

Kata beliau, “ Kehadiran murid-murid dengan pelbagai pakaian kerjaya pada pagi ini menggambarkan kemenjadian dan kehebatan murid-murid di bawah KPM.”

YB Wong Kah Woh ketika menyempurnakan pelepasan peserta Eksplorasi Merdeka JPWKL @ Muzium 2024.

Selain dimeriahkan dengan pelbagai pakaian kerjaya oleh peserta, YB Wong Kah Woh turut menjelaskan bahawa Program Eksplorasi Merdeka itu turut diselitkan dengan elemen pendidikan menerusi stesen eksplorasi yang bakal dilalui oleh peserta seperti stesen TVET dan stesen STEM bagi memupuk minat murid terhadap pendidikan dan pengetahuan berkaitan dengan TVET dan STEM.

Antara murid-murid yang terlibat memperagakan busana etnik dan tradisional.

Selepas upacara perasmian, YB Wong Kah Woh dan semua peserta menyertai aktiviti senam tari yang diadakan selama 15 minit dan diikuti dengan upacara pelepasan peserta program Eksplorasi Merdeka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.