Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Bangun! Laungan dari arah belakang itu sedikit memeranjatkan beberapa individu yang sedang duduk dan leka dengan telefon bimbit masing-masing, ketika muzik intro lagu kebangsaan mulai kedengaran.
Khalayak pelbagai bangsa dan peringkat umur bingkas berdiri lalu bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku dengan bersemangat.
Menyanyikan lagu Negaraku dalam rintik-rintik hujan pagi, bertepatan dengan Hari Kebangsaan benar-benar membangkitkan naluri patriotik. Detik itu sangat indah!
Perasaan dan suasana sedemikian jarang-jarang dapat dirasai melainkan seingat penulis, ketika hadir menyaksikan perlawanan penting pasukan Harimau Malaya di Stadium Bukit Jalil. Stadium bergema dengan nyanyian patriotik lagu Negaraku oleh ribuan penyokong Harimau Malaya yang mengharapkan kemenangan berpihak kepada pasukan bola sepak kebangsaan.
Penulis menyusup di celah-celah ribuan pengunjung di Dataran Putrajaya pada pagi tadi bukan sahaja untuk meraikan Hari Kebangsaan ke-67, malah yang lebih penting adalah untuk mendekati masyarakat pelbagai bangsa, agama dan latar belakang untuk menyelami perasaan dan kefahaman mereka tentang erti sebenar kemerdekaan.
Muhammad Islah Syah, Navavehllan dan Low Hui Hui yang masing-masing berumur 16 tahun, dari sekolah-sekolah di sekitar daerah Klang hadir meraikan Hari Kebangsaan mewakili Persatuan Bulan Sabit Merah.
Keterujaan jelas terpancar apatah lagi ini merupakan kali pertama mereka hadir untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan secara langsung di Putrajaya.
“Saya hadir secara sukarela dan sangat gembira melihat semangat perpaduan dalam kalangan khalayak yang ada di sini. Erti merdeka bagi saya ialah kita dapat bersama-sama meraikan hari yang bermakna ini dengan semangat patriotik.” kata Navavehllan, pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Tengku Idris Syah, Kapar, Klang.
Low Hui Hui, pelajar dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kwang Hua, Kapar, Klang pula menjelaskan akan kepentingan untuk menghargai erti kemerdekaan. Jelas beliau, “Pejuang tanah air terdahulu berjuang dengan bersusah payah dan atas usaha tersebutlah kita hari ini masih berkesempatan untuk meraikan Hari Kebangsaan yang ke-67. Oleh hal yang demikian, kita haruslah sentiasa menghargai dan mempertahankan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini.”
Sementara itu, Muhammad Islah Syah, pelajar dari Sekolah Agama Menengah Sultan Hisahmudin, Sungai Bertih, Klang menyatakan bahawa beliau sangat bangga sebagai rakyat Malaysia kerana dapat melihat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Selanjutnya ialah Encik Gan, 27 tahun, yang berasal dari Johor dan kini menetap di Kuala Lumpur menyatakan pendapat beliau tentang erti kemerdekaan. “Hari ini adalah tentang kebebasan yang bermaksud bahawa kita bebas menentukan hala tuju dan kemajuan negara kita dengan usaha sendiri.”
Bagi Puan Nurul Nadira Yusuf, 31 tahun, dari Saujana Putra pula, beliau mengambil peluang untuk membawa tiga orang anaknya bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan yang menurut beliau merupakan cara terbaik untuk mendidik mereka tentang semangat patriotik. Anaknya Adam Syamel, 9 tahun, menyatakan dengan ringkas tetapi cukup bermakna ketika ditanya tentang erti kemerdekaan, “Merdeka bermaksud kita bebas daripada penjajah.”
Encik Arif, 36 tahun, yang membawa keluarganya ke Dataran Putrajaya menjelaskan bahawa beliau berhasrat untuk menanamkan semangat patriotik kepada anaknya sejak kecil agar mereka sentiasa menghargai kemerdekaan yang dikecapi hari ini. Jelas beliau, “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya, saya harap pada masa akan datang generasi muda tetap akan kenal siapakah pahlawan Hang Tuah dan Tok Janggut.”
Melihat kegembiraan Encik Arif sekeluarga meraikan Hari Kebangsaan, membuatkan penulis bermonolog sendirian, “Tahun hadapan aku mesti membawa isteri dan anak-anakku, Izzatul Husna, Muhammad Al Izz dan Izzatul Iman untuk meraikan Hari Kebangsaan agar mereka faham dan mensyukuri nikmat kemerdekaan.”