Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Istana Budaya (IB) mementaskan semula Teater Muzikal Puteri Hang Li Po (TMPHLP), karya asal dan skrip oleh Allahyarham Rahimidin Zahari mulai 3 Oktober hingga 6 Oktober 2024, di Encore Melaka.
Pementasan TMPHL ini adalah sebagai simbolik kepada Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia dan China.
Berbanding pementasan TMPHLP 20 tahun lalu, pementasan kali ini akan memperlihatkan sejumlah 32 gubahan muzik seperti lagu-lagu nyanyian, tarian dan melodi penceritaan yang dihidupkan semula dengan nafas baharu yang lebih segar, dan sesuai dengan jalan cerita.
Kesemua lagu ini akan dimainkan secara langsung oleh gabungan 49 orang pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), dan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), serta undangan yang diketuai Pengarah Muzik, Encik Mohd Yazid Zakaria.
Semasa sidang media TMPHLP di Lambang Sari, IB pada 28 Ogos lalu, Ketua Pengarah IB, YBrs. Puan Zubaidah Mukhtar menyatakan bahawa cabaran IB dalam mementaskan semula karya agung ini adalah untuk memastikan kualitinya sama seperti dahulu atau lebih baik.
“Namun begitu, saya percaya pada kepakaran tenaga kreatif di IB dengan suntikan terkini, Teater Muzikal Puteri Hang Li Po yang bakal dipentaskan nanti pasti berada pada kelasnya yang tersendiri,” ujar Puan Zubaidah.
IB sebagai salah sebuah agensi Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang mengekalkan kecemerlangan seni persembahan pentas bertaraf dunia, telah diberikan peranan yang besar, dan dipertanggungjawab untuk meraikan sambutan diplomatik ini dalam bentuk seni persembahan, dan budaya sekali gus menyokong usaha Kerajaan MADANI, khususnya melalui MOTAC.
Mengangkat tema cinta dan tanggungjawab, naskhah ini adalah sebuah cerita ilustrasi yang diilhamkan daripada rekod sejarah, iaitu persahabatan antara Maharaja China dengan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15.
Pemilihan TMPHLP memang tepat untuk menyemarakkan industri pelancongan, dan budaya serta salah satu kegiatan meraikan hubungan diplomatik antara dua buah negara.
Pementasan kedua TMPHLP ini digarap oleh Encik Adzwa Saini selaku Pengarah Persembahan, dan dibantu oleh bakat muda dari IB, Amsyar Azizan.
Selain pelakon popular seperti Luqman Hafidz, Hairi Safwan, Datin Louisa Chong, dan Amyza Aznan, TMPHL ini menampilkan beberapa orang artis tempatan berbakat besar, iaitu Brian Chan (sebagai Laksamana Ming), Jeffrey Chew (Maharaja Cina), Munirih Jebeni (Maharani), Saifullah Ghaz (Menteri Di Po), penggiat-penggiat seni teater tanah air, serta Dewi Liana Seriestha sebagai Puteri Hang Li Po.
Luqman memegang watak Sultan Melaka, Hairi (Tun Pepatih Putih), Louisa (Kembang Cina), dan Amyza (Mak Inang).
Dewi Liana, Luqman, Hairi, Datin Louisa, Amyza, serta Encik Yazid, Encik Adzwa dan Encik Irwan Ismadi Shahrim yang bertanggungjawab sebagai Pengarah Artsitik turut menghadiri sidang media TMPHLP.
Selain ucapan oleh Zubaidah, Yazid, Adzwa dan Irwan, majlis sidang media tersebut turut diserikan dengan fragmen beberapa babak TMPHLP, membabitkan Dewi, Brian, Luqman, Louisa, Amyza dan Saifullah.
Berdurasi selama dua jam, TMPHLP akan memukau penonton dengan persembahan berasaskan seni warisan, dan kebudayaan dari kedua-dua negara. Gabungan keunikan, keindahan serta kepelbagaian seni budaya antara Malaysia dengan China ini dapat ditonjolkan menerusi tarian, busana, seni mempertahankan diri dan juga aspek linguistik atau gaya bahasa.
TMPHLP turut menjemput dua orang pemuzik dari China untuk berkolaborasi dengan pemuzik OTM dan OSK IB sebagai simbolik keharmonian dua buah negara.
Bersempena dengan TMPHLP ini, artifak-artifak purba era Dinasti Ming dari Ren Fu Collection turut dipamerkan bagi menaikkan lagi nilai artistik seni, sekali gus mencapai objektif pementasannya sebagai “pertukaran kebudayaan” seiring dengan matlamat utama Kerajaan Malaysia MADANI.
Ikon Puteri Hang Li Po tidak pernah asing dengan Melaka dan bertepatan untuk menjadikan Encore Melaka sebagai tempat persembahan. Pementasan ini juga menyokong, dan merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Melaka 2024.
Kecanggihan teknologi pentas Encore Melaka merupakan kelebihannya yang tersendiri. Kerusi penonton yang mampu menampung 2,000 orang penonton boleh bergerak, dan penonton dapat melihat transisi dari satu babak ke satu babak.
Faktor ini mampu memberikan satu pengalaman tersendiri dalam menonton pementasan TMPHLP nanti.
Persembahan teater ini turut diperkuat lagi dengan pelibatan 74 orang pelakon tambahan yang terdiri daripada Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA), Briged Seni Melaka, Ying Wu Dance Arts, dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan garapan oleh tiga orang koreografer berpengalaman.