3 September 2024, 15:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Kolej Tun Hussein Onn, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama University of the Immaculate Conception (UIC), Filipina telah menjayakan program mobiliti antarabangsa baru-baru ini.

Objektif utama program adalah untuk mengintegrasikan program kolaboratif serta memberikan peluang kepada delegasi UKM-UIC untuk menimba pengalaman akademik dan budaya pada peringkat antarabangsa.

Delegasi UKM dalam majlis sambutan kedatangan di UIC.

Program kerjasama UKM-UIC ini menggalakkan perkongsian ilmu dari sudut silang budaya (Malaysia-Filipina), hubungan persefahaman bahasa (bahasa Melayu-Bisaya/Tagalog), pemerkasaan kemahiran insaniah serta hubungan pengantarabangsaan UKM-UIC.

Program mobiliti antarabangsa ini disertai oleh Pengarah Hal Ehwal Pelajar UKM, merangkap Pengetua Kolej Tun Hussein Onn, empat pegawai KTHO dan 10 pelajar serta 150 orang peserta dari UIC.

Sepanjang program berlangsung, delegasi UKM berpeluang menghadiri sesi pembelajaran yang dikendalikan oleh tenaga pengajar UIC yang berpengalaman, lawatan ke tiga buah kampus UIC, iaitu Kampus Utama di Father Selga St., Kampus Annex di Bonifacio St. dan Kampus Bajada.

Jurufoto: DPB
Peserta berbusana tradisional dalam Program Mobiliti Antarabangsa UKM-UIC.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah taklimat akademik daripada tenaga pengajar dan pentadbiran UIC, perbincangan pendidikan, lawatan ke kelas pengajaran serta aktiviti latihan dalam kumpulan bersama pelajar UIC.

Delegasi UKM juga berpeluang melawat destinasi pelancongan di sekitar Davao seperti Philippines Eagle Sanctuary, City of Davao, Rizal Park, CHEDRO XI, Metropolitan Church, Población Market dan Roxas Market.

Aktiviti seterusnya adalah mempelajari budaya suku kaum Davao di Pesta Kadayawan. Pesta Kadayawan merupakan pesta terbesar di Davao yang mencerminkan kepelbagaian tradisi, sejarah serta landskap budaya yang berwarna-warni.

Delegasi UKM diperkenalkan dengan suku kaum Obo Manuvu, Maguindanaon, Ata, Matigsalug, Bagobo Klata, Maranao, Bagobo-Tagabawa, Tausug, Sama, Iranun dan Kagan. Mereka berpeluang melawat 11 buah rumah suku kaum Davao serta menyaksikan tarian suku kaum tersebut.

Delegasi UKM dalam program di Kampus Bajada.

“Penganjuran mobiliti ini menghidupkan seni dan budaya, hubungan sehala antara UKM-UIC serta pembelajaran kalis masa hadapan kerana termeterai ikatan kekeluargaan sesama kita. Program ini bukan sahaja memberikan impak positif kepada pelajar dari segi akademik malah memupuk kefahaman tentang kepelbagaian budaya yang membawa makna keharmonian kaum. Ini ialah mesej penting bahawa pembelajaran bukan sahaja diperoleh di dalam kelas bahkan di mana-mana sahaja”, jelas Profesor Dr. Norinsan Kamil Othman.

Lawatan ini lebih bermakna apabila KTHO mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Davao yang disambut meriah oleh YBhg. Tuan Deddy Faisal Ahmad Sakkeh. Pelbagai isu dibincangkan termasuklah isu global BIMP-EAGA (kerjasama ekonomi) antara Malaysia, Filipina, Brunei dan Indonesia. Hal yang turut dibincangkan ialah hubungan diplomasi erat selama 60 tahun antara Malaysia dengan Filipina, iaitu mulai 18 Mei 1964.

Jurufoto: MAMAT
Delegasi UKM ketika mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Davao.

Selain itu, turut dilaksanakan aktiviti khidmat masyarakat yang melibatkan pelajar UKM-UIC bersama-sama komuniti. Aktiviti pembersihan dan pengutipan sampah sepanjang persisiran Pulau Samal merupakan usaha untuk memelihara keindahan alam sekitar serta meningkatkan kesedaran akan kepentingan pengurusan sisa yang bertepatan dengan sokongan delegasi terhadap SDG 14 dengan menjaga kebersihan ekosistem marin dan memelihara biodiversiti laut. Aktiviti ini menyumbang kepada kesedaran dan pendidikan kepada peserta selain persekitaran pantai yang bersih.

Terdahulu, Program Mobiliti Kolej Tun Hussein Onn ke luar negara telah dilaksanakan sebanyak tiga kali iaitu di China, Korea dan Filipina. Program ini merupakan usaha untuk memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah aktif dalam memupuk hubungan pengantarabangsaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.