Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Bermalam di Muzium Perdana 2024 bertujuan untuk menyuburkan semula minat generasi muda terhadap warisan bersifat ketara dan tidak ketara menerusi pendekatan peremajaan muzium melalui elemen seni dan teknologi.
Sebanyak 2222 orang peserta sekolah menengah yang berusia 13 tahun hingga 17 tahun telah menyertai program ini melalui 33 buah muzium di seluruh negara yang terdiri daripada 18 buah muzium persekutuan di bawah seliaan Jabatan Muzium Malaysia, sembilan buah muzium negeri dan enam buah muzium institusi seluruh negara.
Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang telah hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Bermalam di Muzium Perdana 2024 anjuran Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) di Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.
Program ini merupakan satu daripada program utama dalam Program Citra Nusa @ Muzium. Program Citra Nusa @ Muzium merupakan program permuziuman berteraskan warisan seni budaya yang menyasarkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang budaya dan kaum.
Program tersebut telah diiktiraf sebagai Largest Participation in Patriotic Themed Poster Making oleh Malaysian Book of Records (MBOR). Pengiktirafan ini telah diberikan oleh MBOR pada majlis menandatangani Sijil MBOR petang tadi.
Terdahulu, penganjuran Program Bermalam di Muzium dipelopori oleh Muzium Negara pada tahun 2005 bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan negara.
Kejayaan penganjuran program ini telah merintis pelaksanaan program yang seumpamanya di beberapa buah muzium lain di bawah pentadbiran JMM dan menjadi ikutan muzium-muzium lain di seluruh negara.
Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya menyeru supaya generasi muda menyuburkan semangat patriotisme serta memupuk semangat perpaduan dalam diri untuk memastikan kemerdekaan tanah air terus kekal dan dipertahankan.
Dalam program yang sama juga, Bank Negara Malaysia telah melancarkan “MAG in Your Pocket” yang merupakan strategi digital Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia sebagai pembelajaran mudah alih tanpa batas.
Aplikasi ini menawarkan bahan pembelajaran yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja dan di mana-mana dalam memperluas akses serta keterangkuman kepada pendidikan kewangan.
Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Marzunisham Omar; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.