3 September 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persembahan Dendang Nurani – Fragmen Sarawak Maju Makmur dipersembahkan dengan jayanya di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Fauziah Mohd. Sanusi.

Persembahan selama 25 minit ini diadakan sebagai penutup Program Syarahan Negarawan dan Bicara Buku TYT Yang Di-pertua Negeri Sarawak di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.

Segmen pertama, penonton telah dihiburkan dengan lagu Ros Kalas yang dinyanyikan oleh penyanyi legenda Bumi Kenyalang, iaitu Safar Ghaffar.

Penyanyi lain yang turut mewarnai persembahan termasuklah Nur Hijrah Yahya dan Mohamad Faizal Jamil, dengan mendendangkan lagu Berani dan Tanah Ini Sarawak Gemilang.

Seterusnya persembahan diteruskan dengan dendangan syair dan deklamasi sajak oleh penyair dan deklamator terbaik Sarawak, Mohamad Faizal Jamil dan Khalid Husseine Tuah.

Penonton telah disajikan dengan sebuah persembahan yang mengangkat kepimpinan pemimpin di Sarawak yang berwibawa dan menyerlahkan pembangunan yang pesat dan perpaduan yang utuh.

Tambah menarik, pelbagai elemen persembahan seperti syair, deklamasi puisi, nyanyian dan tarian telah digabungjalinkan dan dipadukan dengan muzik dan visual secara langsung bagi memberikan kesan yang lebih mendalam kepada penonton.

Sebelum itu, persembahan atau fragmen Sarawak Maju Makmur ini merupakan buah tangan DBP Cawangan Sarawak (DBPCS) yang diterajui oleh Pengarah, Abang Haliman Haji Abang Julai sebagai penasihat produksi.

Nurhijrah Yahya dan Khalid Husseine Tuah antara yang menjayakan Dendang Nurani Fragmen Sarawak Maju Makmur.

Fragmen ini juga menampilkan Abdul Wahab Firdaus Hairaf selaku Pengarah Persembahan dan diiringi oleh Kumpulan Lasykar Seni, manakala para penari terdiri daripada Kumpulan Bimbingan Seni Cemerlang yang dikelolakan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Sarawak.

Sebahagian produksi yang menjayakan Dendang Nurani Fragmen Sarawak Maju Makmur.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Datuk Aaron Ago Dagang; Yang Berbahagia Sasterawan Negara merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr. Anuar Haji Rethwan; Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari dan Puan Hajah Azrina Hashim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.