Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Ketika para peminat dan pihak media masih belum “melupakan” konsert Dato’ M.N45ir: Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos lalu, penganjurnya ICON Entertainment (ICON) membuat mereka tertunggu-tunggu pula 12 Oktober depan.
Kejayaan Dato’ M.N45ir: Cipta telah mendorong ICON mengadakan Majlis Apresiasi dan Pengumuman Istimewa Dato’ M.N45ir:Cipta pada 20 Ogos lalu di Shook!, Hotel JW Marriot, Jalan Bukit Bintang.
Wakil media berasa amat dihargai ekoran majlis berkenaan. Walau bagaimanapun, bersama-sama peminat, mereka tertanya-tanya apakah pengumuman istimewa yang dimaksudkan itu.
Akhirnya, setelah agak lama menunggu, jawapan diperoleh. Justeru, daripada ingin berbincang dan mengenang perihal konsert Dato’ M.N45ir: Cipta, sesi berkenaan segera bertukar menjadi sidang media untuk konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2 pula!
Seumpama hujan baru reda dan basah bumi belum sempat mengering, begitulah larut perasaan para peminat sifu seni tanah air ini yang belum boleh beralih daripada konsert Dato’ M.N45ir: Cipta.
Sememangnya bukan Dato’ M. Nasir (DMN) jika hasil dan sejarah kerjayanya tidak meninggalkan kesan yang baik, serta luar biasa. Masih banyak yang membicarakan mengenai betapa gah konsert Dato’ M.N45ir: Cipta.
Tenaga DMN, pemilihan lagu serta barisan pemuzik dan pasukan yang menghidupkan Dato’ M.N45ir: Cipta masih dibanggakan sebagai konsert terbaik pada pertengahan tahun 2024.
Justeru banyak yang menzahirkan kedukacitaan kerana tidak dapat turut meraikan pesta dari konsert berkenaan, ICON dengan sukacita dan berbesar hati membawa satu-satunya sang legenda ini kembali menerusi satu lagi siri eksklusif konsert khas buat pencinta dan peminat sejatinya.
Perancangan konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2 menjanjikan sebuah kepuasan berbeza, yang menjadi medan buat figura berusia 67 tahun ini melakukan pemilihan terbaik daripada 3,000 irama lagu ciptaan beliau.
Disifatkan sebagai versi tambahan CIPTA dan dinamakan sebagai konsert Dato’ M.N45ir Cipta 2. Tarikh 12 Oktober 2024 dipilih sebagai hari perayaan seniman bersama-sama peminat yang sekali lagi akan membuatkan seluruh Axiata Arena Bukit Jalil bergema.
Majlis Apresiasi dan Pengumuman Istimewa Dato’ M.N45ir: Cipta itu dihadiri Iman Tang, pemilik ICON, bersama-sama DMN, serta Aznan Alias a.k.a. Nan (pengarah muzik/gitar 1), dan Rafi Mohd. (gitar 2). Isteri DMN, iaitu Datin Marlia Musa, dan anak tunggalnya, Suci Musalmah turut hadir memberikan sokongan padu.
“Selepas mengambil kira semua maklum balas daripada pemerhati seni, peminat tegar M. Nasir atau peminat muzik yang mengikuti perkembangan konsert Dato’ M.N45ir: Cipta, maka ICON bersama-sama M. Nasir, dengan sukacita mahu mengadakan konsert versi tambahan khas buat semua peminat,” kata Iman.
“Oleh sebab konsert ini merupakan kesinambungan konsert Dato’ M.N45ir: Cipta, maka kami bersetuju menamakannya sebagai konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2, yang akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil juga pada 12 Oktober 2024,” ujarnya lagi.
Ada dua perkara menarik. Pertama, dari segi hari penganjuran. Tempoh konsert Dato’ M.N45ir:Cipta dengan Dato’ M.N45ir: Cipta 2 agak jauh berbanding penganjuran yang biasanya dua hari berturut-turut mengikut permintaan yang tinggi kerana menghormati konsert rakan industri yang terlebih dahulu sudah dimeterai.
Kedua, seingat saya belum pernah ada mana-mana penyanyi solo atau kumpulan mengadakan konsert sekuel, iaitu dengan judul dan konsep yang sama. Tambahan pula dalam tempoh yang singkat, iaitu dua bulan!
Justeru, ini boleh dianggap satu rekod baharu dalam dunia atau industri seni tanah air yang dilakukan oleh ICON dan DMN.
Bagi ICON konsert ini merupakan satu kejayaan besar kerana masih baru bergerak. Dan memang wajar bagi DMN kerana kewujudannya melebihi empat dekad! Untuk itu juga DMN mencatat rekod peribadi kerjayanya!
Namun demikian, berbeza dengan penganjuran konsert pertama, Dato’ M.N45ir: Cipta 2 hanya menerima peminat tegar Hati Emas itu dalam kapasiti yang cukup terhad. Jumlah penonton konsert pertama ialah 8,000 orang.
“Selain lagu-lagu yang tentu akan berbeza dengan sebelumnya, konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2 terhad kepada 6,000 penonton sahaja. Jika anda ialah peminat tegar M. Nasir, atau telah terlepas menyaksikan konsert-konsert beliau sebelum ini, konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2 ialah momen terbaik untuk anda cipta dan simpan sebagai sejarah,” tambah Iman.
DMN pula memberitahu disebabkan oleh permintaan ramai, dan pada mereka yang tidak boleh “beralih” lagi, maka beliau dan penganjur mengadakan Cipta 2.
“Persembahan pada 12 Oktober nanti akan menampilkan lagu-lagu yang lain. Ada lagu-lagu lama, tetapi sebahagian besar persembahan akan diisi dengan lagu-lagu lain,” ujarnya.
“Kami akan cuba membawakan lagu-lagu yang tidak dinyanyikan dalam konsert pertama, selain menambah beberapa lagu baharu, maksudnya rakaman-rakaman saya dalam persembahan kali ini. Saya harap persembahan Cipta 2 akan lebih bertenaga dan memberikan makna kepada anda sekalian,” tambah DMN yang amat berterima kasih, menyanjungi dan menghargai pihak media, kerana banyak membantu kejayaan beliau.
Sementara itu, Nan mengatakan memang mustahil kesemua 3,000 buah lagu didendangkan dalam masa tiga jam persembahan.
“Walau bagaimanapun, seperti kata Dato’, beberapa buah lagu yang belum dinyanyikan dalam konsert pertama, akan ditampilkan dalam konsert kedua, selain beberapa buah “lagu wajib”,” tambahnya.
Begitu pun, untuk mengetahui apa dan bagaimana konsert Dato’ M.N45ir: Cipta 2 nanti, maka para peminat dan pihak media wajib menontonnya, untuk menjadi saksi mata kepada sebuah lagi persembahan hebat figura yang disegani ini.
Jika penganjur konsert Dato’ M.N45ir: Cipta menyarankan para penonton datang dengan berbusana tradisional, serta ala pendekar dan srikandi, untuk Dato’ M.N45ir: Cipta 2 pula, mereka disarankan memakai denim biru dan baju putih!