Oleh Chai Loon Guan
5 September 2024, 16:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Tanjung Tualang!”

Tiba-tiba pekan yang nostalgia itu meniti bibir seorang pesara guru. Tanjung Tualang pernah dikenal sebagai pekan perlombongan bijih timah bersempadan dengan Batu Gajah dan Kampar di Daerah Kinta Selatan.

“Kita singgah makan tengah hari di Kampung Baharu Timah@Tanjung Tualang, abah!” syor ringkas anak bongsuku, WXing. Sebenarnya kami dalam perjalanan ke pekan Kampar. Janji temu pemeriksaan tahunan kesihatan mataku di Ipoh Eye Specialist Centre, Kampar Sentral.

“Syor yang baik,” sambut isteriku, BSYong.

Sebaik usai urusan di klinik pakar mata berbekalkan ubat dan vitamin, kami meneruskan perjalanan ke Tanjung Tualang via Kampar. Pernah bertugas di pekan kecil Tanjung Tualang sekitar tahun 1982 hingga tahun 1987 sebaik tamatnya latihan perguruan asas di Maktab Perguruan Ilmu Khas.

Tidak banyak perubahan sebenarnya di pekan yang bersejarah itu kecuali tumbuhnya taman perumahan dan premis perniagaan baharu. Demikian jua halnya dengan Kampung Baru Sungai Durian, Kampung Air Papan dan kampung-kampung di sekitarnya. Yang uniknya, pekan ala-ala koboi itu sibuk dikerumuni pelbagai jenis kenderaan dari segenap pelosok semenanjung, terutamanya pada cuti hari minggu, cuti persekolahan dan cuti perayaan.

Barangkali kebetulan pada waktu itu, waktu makan tengah hari. Berpusu-pusulah wisatawan singgah berehat seketika untuk menjamu selera. Yang pastinya, resipi masakan ikan ketutu, baung, haruan atau tilapia pelbagai rasa, udang galah, ketam masak kicap, sotong goreng dan sayur-sayuran desa menyelerakan setiap insan yang datang berkunjung.

Kenderaan ini lancar menelusuri jalan ke arah Kampung Baharu Timah. Bangunan SMK Dato’ Bendahara CM Yusuf, sekolah lamaku tersergam indah berhadapan dengan Kampung Air Papan. Kami selamat tiba di Restoran Thoh Kee, Kampung Baharu Timah.

Tempat parkir kenderaan didapati penuh. Bilik makan berhawa dingin restoran sesak. Jadi, terpaksalah kami mencari ruang meja bulat yang ada untuk mengisi perut yang lapar. Menu air asam limau ais, ikan baung kukus, udang galah masak kicap, sayur daun ubi keledek bertumis bawang putih dan nasi memenuhi selera makan tengah hari kami sekeluarga.

 

udang galah tualang

mengalu-alukan kunjungan

setelah kutinggalkan daerahmu

empat dasawarsa yang lalu

 

ikan ketutu tualang

mengundang aku pulang

dalam kemesraan

mengimbau silam nostalgiaku

pada pasir putihmu

pada kolam ikanmu

pada kapal bijihmu

menelusuri transformasi

 

biarpun mahal

harga sebuah nostalgia

ikan di kolam, asam di darat

bertemu juga dalam belanga

udang galah, ikan ketutu

dan landskapmu

mengubati rindu padamu, Tualangku!

Selain hidangan lauk ikan air tawar pilihan dan udang galahnya, para wisatawan turut dapat berdarmawisata ke destinasi seperti Kapal Korek TT5, Escape Theme Park@Escape Ipoh, Galeri Rumah Lat, Kellie’s Castle di Batu Gajah dan Muzium Perlombongan Bijih Timah Kinta di Kampar sebelum bertolak pulang ke destinasi masing-masing.

Gerai-gerai di pekan Tanjung Tualang turut menyediakan jualan untuk dibawa pulang oleh para pengunjung seperti pelbagai jenis biskut tradisional, sambal udang buatan tempatan, minuman ABC, air manisan Lian Zi Tang (sup biji teratai) dan buah-buahan tempatan seperti limau barli, betik, jambu batu, ikatan biji teratai, tembikai susu dan pisang.

Kembara seharian amat mengujakan hati pesara guru seperti diriku yang pernah mencari rezeki dan berbakti ilmu kepada anak-anak didik di pekan kecil tersebut. Kini, selepas empat dasawarsa, diriku kembali mempersubur nostalgia yang cukup membahagiakan diri dan seisi keluarga. Dirgahayu, Tanjung Tualang, pekan perlombongan bijih timah yang bersejarah kepada perkembangan ekonomi nusa bangsa yang tercinta!

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.