9 September 2024, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Sepat – Festival Selangor @ Batu Laut 2024 yang julung-julung kali diadakan memperlihat keunikan budaya dan kepelbagaian kaum yang terdapat di negeri Selangor seperti budaya masyarakat Jawa, Bugis, Mendailing, Banjar, Melayu, orang asli, Cina, India dan sebagainya.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris, festival yang berlangsung dari 6 September hingga 8 September 2024 di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN, Selangor, bersama Kelab Iltizam Selangor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.

“Antara pengisian utama festival ini ialah Pertandingan Keroncong Antarabangsa Malaysia, Pertandingan Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri Selangor, pelbagai aktiviti mencungkil bakat, himpunan dan pertandingan silat, sukan rakyat, Batu Laut Culture Warrior, demonstrasi dan pertandingan makanan tradisi, Simulasi Perkahwinan Etnik Negeri Selangor, Pasar Saloma, Jualan Ehsan Rahmah, Jualan Agro Madani, pertandingan sukan layar, perkhemahan pengakap dan glamping budaya serta pameran dan demonstrasi interaktif agensi persekutuan, negeri, swasta dan persatuan kebudayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertandingan keroncong memeriahkan Festival Selangor @ Batu Laut 2024 yang berlangsung selama tiga hari.

Tambahnya, festival ini turut dimeriahkan dengan persembahan muzik seperti keroncong dan Gordang Sembilan, pertandingan busana tradisional, pertandingan memasak masakan tradisi, demonstrasi pembuatan Wau Kapal, simulasi perkahwinan tradisi etnik Jawa, Bugis, Banjar, Mendailing dan orang asli Mah Meri.

“Dengan penganjuran Festival Selangor @ Batu Laut 2024, acara ini dapat menjadi platform untuk pertemuan badan bukan kerajaan (NGO) Seni Budaya, penyemarakan, pemeliharaan dan pemuliharaan seni dan budaya serumpun dan unik di negeri Selangor,” katanya.

Beliau juga berharap festival ini mampu menjadi hub seni budaya negeri Selangor yang akan dapat menarik lebih banyak pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri Selangor sekali gus menaikkan ekonomi negeri Selangor melalui industri pelancongan budaya.

Pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi perkahwinan etnik Selangor.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapan perasmiannya berkata kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan sekiranya MOTAC serta JKKN Selangor berhasrat menjadikan penganjuran festival itu sebagai acara tahunan di Selangor.

“Program boleh diperluas ke lokaliti lain kerana setiap kawasan ada kebudayaan tersendiri seperti daerah Hulu Langat dan Semenyih terdapat komuniti Minang manakala Sabak Bernam dengan orang Jawa,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri mahu memperkenalkan keunikan budaya itu dan pelibatan orang kampung dalam program ini menunjukkan perkembangan yang baik.

Pertandingan Makanan Tradisi Jawa merupakan antara aktiviti menarik dalam festival ini.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri juga dalam usaha memperkenalkan citra Selangor membabitkan Cempuling.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.