11 September 2024, 15:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Pameran Light of Langsuir oleh Kazutaka Shioi sedang berlangsung sehingga 13 September 2024 di Balai Seni Negara Langkawi.

Menurut Balai Seni Negara, pameran ini menampilkan karya yang menggabungkan alam semula jadi dan spiritualiti.

“Menggunakan daun langsuir yang banyak ditemui semasa residensinya di Akaldiulu, Shioi menyatukan elemen tradisional dengan inovasi kontemporari, menghasilkan pengalaman seni yang mendalam dan menyeluruh,” kata Balai Seni Negara dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pelbagai aktiviti dan jelajah juga diatur bagi mendedahkan Shioi kepada seni, tempat, sejarah, dan budaya di Langkawi.

Kazutaka Shioi berkongsi tentang karyanya bersama-sama hadirin.

Balai Seni Negara berkata, Pameran “Light of Langsuir” oleh Kazutaka Shioi merupakan satu daripada pengisian di bawah Program “Barehands Residency”, iaitu hasil jalinan kerjasama antara rakan kolaborasi A.P Art Gallery, Akaldiulu, Japan Foundation dan Uku Private Gallery serta disokong oleh MyCreative Ventures.

Katanya, program residensi berkenaan telah dijalankan pada 15 Ogos sehingga 4 September 2024 bertempat di Akaldiulu, lokasi artis residensi Kazutaka Shioi menghasilkan karya-karyanya.

“Menyingkap latar belakang program residensi di Akaldiulu, program ini telah bermula sejak tahun 2010 dan telah berkolaborasi dengan seniman dari luar negara seperti Jordan, Jepun, Indonesia, Filipina, dan Taiwan,” jelasnya.

Menurut Balai Seni Negara, Program Barehands Residency diasaskan oleh Juhari Said pada tahun 2010 dan diteruskan secara konsisten pada 2014, 2015, 2016, 2017, dan 2023 dengan pelibatan secara meluas oleh artis antarabangsa.

Pengarah Japan Foundation, Encik Tsukamoto Norihisa merasmikan pameran Light of Langsuir.

Tambahnya, program ini dilihat menjadi wadah kerjasama dalam pertukaran budaya, ilmu, serta pengalaman semasa residensi berlangsung.

Maklumnya, video dokumentasi yang memaparkan perjalanan sepanjang berlangsungnya program residensi ini bakal ditayangkan di Fukuoka, Jepun dalam sebuah pameran di sana kelak.

Katanya, hal tersebut secara tidak langsung mampu meningkatkan kesedaran kepada masyarakat antarabangsa tentang perkembangan seni di Malaysia sekali gus mempromosi keunikan budaya serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan seni yang wajib dikunjungi.

Menurut Balai Seni Negara, pameran ini telah dirasmikan pada Sabtu lalu oleh Pengarah Japan Foundation, Encik Tsukamoto Norihisa.

Katanya, serentak dengan majlis pelancaran, turut diadakan sesi bual bicara bertajuk “Art In Residence: Cultivating Creativity Beyond Studio Walls” yang dibarisi oleh panel Juhari Said, artis cetakan terkemuka Malaysia, Kazutaka Shioi, artis Program Barehands Residency serta Nazura Rahime sebagai pengantara.

Sesi bual bicara “Art In Residence: Cultivating Creativity Beyond Studio Walls”.

Tambahnya, perbincangan ini menjadi satu platform bagi menterjemah serta berkongsi pengalaman sepanjang menjadi artis residensi.

Balai Seni Negara memaklumkan Kazutaka Shioi juga sempat berkongsi tentang teknik penghasilan karyanya kepada komuniti setempat menerusi “Sha-Ko-Seki Art Workshop” yang disertai kira-kira 20 peserta, bertempat di Studio Seni, Balai Seni Negara Langkawi.

Kredit Foto: Balai Seni Negara
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.