Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – A Piece of Malaysia (APOM), sebuah platform kreatif tempatan yang mempromosikan warisan budaya dan seni Malaysia, memperkenalkan koleksi poster terbaru mereka, #Empatbelas2024 dalam pameran bersempena dengan Hari Malaysia. Koleksi yang menampilkan 14 poster ini, diinspirasikan oleh filem ikonik antarabangsa, diolah dengan ciri-ciri khas negeri dan wilayah di Malaysia.
Pengasas bersama APOM, Chantelle Teoh, ketika berucap pada majlis perasmian di Semua House, Kuala Lumpur, berkongsi rasa bangganya terhadap kempen #Empatbelas2024, yang dianggap sebagai satu rintisan bermakna dalam mengembangkan karya seni lukis tempatan kerana setiap satu dari poster tersebut mencerminkan kreativiti dan simbol kebanggaan negara.
“Kami amat berbangga kerana dapat menyediakan platform ini untuk para penggiat seni lukis tempatan dalam menonjolkan bakat mereka,” katanya.
“Selain itu, kempen ini juga bertujuan mengeratkan perpaduan negara dan membugarkan rasa cinta terhadap Malaysia dengan cara yang dapat menarik minat generasi kini. Kami ingin menunjukkan bahawa patriotisme boleh ditonjolkan secara kreatif.”
Memasuki tahun keempat kempen tahunan #Empatbelas, APOM memperkenalkan pendekatan baharu dengan menghasilkan poster filem ikonik yang diolah semula bagi mencerminkan identiti dan warisan setiap negeri. Setiap poster diilhamkan oleh elemen budaya unik dari negeri-negeri berkenaan, memberikan nafas baru kepada seni tradisional, sekali gus menonjolkan keindahan serta kekayaan budaya tempatan.
Projek ini bukan sahaja meraikan kerencaman budaya Malaysia, tetapi juga menunjukkan bagaimana pengaruh filem global boleh diolah menjadi sesuatu yang bercirikan tempatan.
Sejak dilancarkan pada 2011, kempen #Empatbelas telah melibatkan lebih daripada 50 bakat kreatif tempatan, menjadikannya platform utama untuk menonjolkan kebanggaan negeri dan bakat rakyat Malaysia yang luar biasa. Koleksi ini membuktikan komitmen APOM dalam memperkasakan budaya Malaysia melalui pendekatan inovatif, terutamanya dalam menyokong dan mendedahkan bakat tempatan.
Pengunjung pameran di Semua House bukan sahaja berpeluang melihat poster-poster yang menarik, tetapi juga berinteraksi dengan para artis dan mendengar kisah inspirasi di sebalik karya mereka. Pameran ini akan berlangsung dari 6 September hingga 6 Oktober di Semua House, dan APOM menjemput masyarakat untuk menyaksikan gabungan seni dan budaya yang unik ini.
Bagi mereka yang ingin membawa pulang kenangan daripada kempen ini, cetakan dan barangan edisi terhad #Empatbelas2024 juga boleh didapati di kedai-kedai fizikal APOM dan juga dalam talian.