17 September 2024, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Parit Buntar – Tragedi feri karam di Sungai Kerian pada 52 tahun yang lalu mengorbankan 27 orang terdiri daripada 17 orang murid Sekolah Kebangsaan Methodist Parit Buntar, 8 orang pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Krian dan 2 orang awam diimbau kembali melalui penganjuran Majlis Pengkisahan Sejarah Feri Karam di Sungai Kerian oleh Arkib Negara Malaysia Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Daerah Kerian di Dewan Merdeka Parit Buntar, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya berkata, majlis pengkisahan sejarah ini merupakan siri yang ketiga selepas Majlis Pengkisahan Tragedi Pos Dipang yang diadakan pada 14 September 2023 dan Majlis Pengkisahan Tragedi Runtuhan Gunung Cheroh yang diadakan pada 24 Oktober 2023.

 

Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Jaafar Sidek Haji Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan perasmian.

“Saya berharap bahan dan maklumat yang akan dikumpulkan berhubung tragedi ini dapat memberikan peluang kepada para penyelidik membuat kajian serta ditulis dengan baik supaya menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah kepada masyarakat khususnya penduduk di Kerian”, katanya.

Majlis ini diadakan bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan detik cemas oleh mangsa serta saksi tragedi feri karam yang berlaku pada 13 September 1972 kepada masyarakat, disamping usaha Arkib Negara Malaysia Negeri Perak untuk mendokumentasikan tragedi tersebut sebagai rujukan kepada generasi akan datang serta mengisi jurang maklumat yang sedia ada supaya tidak dilupakan atau hilang daripada ingatan penduduk Kerian.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian, YBrs. Tuan Helmi Yusof @ Jusoh.

Penganjuran majlis ini mendapat sokongan alumni Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Krian, Persatuan Murid-murid Tua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Krian dan YBrs. Encik Lee Huat Lian dari Shin Chew Daily dalam usaha mengenal pasti tokoh-tokoh yang terlibat dalam peristiwa ini.

Sementara itu, sesi pengkisahan tragedi tersebut menampilkan tiga orang waris mangsa kejadian, iaitu YBrs. Tuan Haji Abdul Rahim Musa, YBrs. Encik Perumal Annamalai dan YBrs. Encik Chan Wan Teck.

Tiga orang waris mangsa, iaitu YBrs. Tuan Haji Abdul Rahim Musa (dua dari kiri), YBrs. Encik Perumal Annamalai (tengah) dan YBrs. Encik Chan Wan Teck (kanan) semasa berkongsi detik tragedi dalam sesi pengkisahan.

Turut serta dalam majlis berkenaan ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian, YBrs. Tuan Helmi Yusof @ Jusoh; Orang Besar Jajahan Kerian, YBhg. Orang Kaya Kaya Shahbandar Paduka Indera Dato’ Ahmad Raziff Dato’ Seri Mohamad Zulkifli; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Arkib Negara Malaysia, YBrs. Tuan Haji Zaidin Mohd Noor; Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Perak, YBrs. Shahida Mohamad Salleh; Setiausaha Majlis Daerah Kerian, YBrs. Puan Norhafisah Haji Mohamad, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan dan ketua-ketua komuniti.

Kredit Foto: FB Arkib Negara
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.