20 September 2024, 23:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Muzium Malaysia menzahirkan penghargaan khusus kepada Presiden Kadazan Society Sabah (KSS), Datuk Seri Panglima Marcel Leiking kerana sudi menghadiahkan set tagung (gong) Kadazan, set kulintangan dan set gendang milik peribadi beliau kepada jabatan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim ketika menyampaikan ucapan penghargaan.

Berucap dalam Majlis Derma Koleksi Set Tagung Kadazan yang diadakan pada petang tadi, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, “Kami sangat mengalu-alukan dan berbesar hati untuk menerima koleksi ini. Pemberian hadiah koleksi peribadi yang berusia ratusan tahun ini merupakan suatu penghormatan kepada Jabatan Muzium Malaysia dan akan memberikan nilai tambah kepada pelbagai koleksi gong yang sedia ada di jabatan ini.”

Selain menyifatkan pemberian hadiah koleksi peribadi sebagai suatu keikhlasan, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim menjelaskan bahawa Kempen Derma Koleksi yang telah dilancarkan sejak Disember 2021 bermatlamat untuk memberikan kesedaran serta meningkatkan kebersamaan masyarakat dalam pemeliharaan khazanah warisan negara.

Presiden Kadazan Society Sabah, Datuk Seri Panglima Marcel Leiking ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Derma Koleksi Set Tagung Kadazan.

“Dalam tempoh lima tahun yang lalu, Jabatan Muzium Malaysia telah menerima 468 koleksi yang signifikan kepada negara daripada 31 orang penderma yang dimanfaatkan untuk pembangunan ilmu, pemantapan jati diri dan peningkatan keprihatinan masyarakat melalui penyelidikan, pengembangan serta pameran,” tambah beliau.

YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim juga menggariskan empat inisiatif derma koleksi yang dianugerahkan oleh Jabatan Muzium Malaysia kepada penderma termasuklah penderma akan menerima sijil dan surat penghargaan, nama penderma akan tertera pada kapsyen pameran, penderma boleh memohon pengecualian cukai serta koleksi tersebut kekal terpelihara sabagai khazanah warisan negara.

Persembahan oleh ahli Kadazan Society Sabah menghiburkan tetamu yang hadir.

Terdahulu, Presiden KSS, Datuk Seri Panglima Marcel Leiking menerusi ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa sumbangan tagung Kadazan tersebut ialah hadiah masyarakat Kadazan kepada rakyat Malaysia.

“Sumbangan bersempena dengan Hari Malaysia pada tahun ini merupakan simbolik memperingati penyertaan langsung, komitmen, jasa dan pengorbanan bangsa Kadazan dalam pembinaan negara bangsa selain keikhlasan kami untuk wujud bersama-sama secara harmoni dalam kesatuan kepelbagaian seperti yang selalu disarankan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” jelas beliau.

Tambah Datuk Seri Panglima Marcel Leiking, “Sebagai bangsa yang kaya dengan budaya dan adat, kami amat memahami pentingnya bahasa dalam mencerminkan identiti dan jati diri bangsa seperti kata pepatah biar mati anak, jangan mati adat, bahasa dan adat resam merupakan warisan yang tidak ternilai yang turut menjadi nadi pengikat perpaduan.”

YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, Datuk Seri Panglima Marcel Leiking dan tetamu kehormat yang lain bergambar bersama-sama ahli Kadazan Society Sabah.

Beliau turut menitipkan pesan agar semua pihak terus memelihara perpaduan dan keamanan yang dinikmati selama ini.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Muzium Negara, YBrs. Encik Mohamad Shawali Haji Badi; Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman), Jabatan Muzium Negara, YBrs. Encik Mohd Razaimi Hamat dan Setiausaha Agung KSS, YBrs. Encik Batholomew Jingulam.

Kredit Foto: Jabatan Muzium Malaysia
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.