Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Pinang – Siri Kem Generasi Budaya mengikut zon seluruh Malaysia dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia bagi melahirkan pelapis warisan seni budaya.
Menurut JKKN, Kem Generasi Budaya ini adalah merupakan program yang memberi fokus kepada penerapan jati diri dan pembentukan keperibadian yang mulia dalam kalangan belia.
Tambahnya, program yang diadakan sebanyak enam siri ini melibatkan peserta dalam kalangan belia berumur 18 hingga 30 tahun yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk etnik Sabah dan Sarawak,
“Melaluinya, peserta dapat menonjolkan bakat-bakat dan kreativiti remaja dalam bidang seni dan budaya kerana program ini dilaksanakan dalam bentuk interaksi, ceramah dan latihan dalam kumpulan,” jelas JKKN dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, program ini juga akan melatih bagi melahirkan belia sebagai badan bukan kerajaan (NGO) baharu dengan menubuhkan persatuan seni budaya dalam menjana ekonomi melalui persatuan atau syarikat yang ditubuhkan.
Kem Generasi Budaya merupakan kesinambungan program Kem Sosio Budaya yang pernah dilaksanakan oleh Bahagian Kebudayaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak tahun 1972 dan kali terakhir penganjuran yang dilaksanakan ialah pada tahun 2015.
“Program ini juga telah mendapat kerjasama dari Akademi Kenegaraan Malaysia dan ia merupakan salah satu inisiatif JKKN dalam memastikan penyemarakan aktiviti seni budaya dan warisan dapat memperkuatkan jati diri dalam kalangan peserta sejajar dengan enam Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan ke arah memupuk semangat perpaduan melalui kepelbagaian dan cintakan negara dalam konteks seni dan budaya,” jelas JKKN.
JKKN berharap agar para peserta dapat mengambil peluang untuk mempelajari ilmu yang baharu selain dapat meluaskan jaringan kerjasama antara peserta dan semoga program silang budaya ini memberi impak positif kepada generasi muda dalam terus melahirkan rasa cinta terhadap seni dan budaya.
Enam siri Kem Generasi Budaya tersebut akan dianjurkan mengikut zon dengan bermula di Zon Utara pada 18 hingga 21 September 2024, Zon Sarawak pada 23 hingga 26 September 2024, Zon Tengah pada 2 hingga 5 Oktober 2024, Zon Timur pada 8 hingga 11 Oktober 2024, Zon Selatan pada 15 hingga 18 Oktober 2024 dan Zon Sabah pada 28 hingga 31 Oktober 2024.
Majlis Perasmian Kem Generasi Budaya Zon Utara telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), YBrs Encik Rosnan Nordin di White Camp Resort, Balik Pulau.