Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kempen Derma Koleksi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menyaksikan set Tagung Kadazan yang terdiri daripada enam unit gong, satu set kulintangan yang mengandungi sembilan unit gong kecil dan satu gendang berserta tapak menjadi satu lagi khazanah terkini JMM pada tahun ini sejak dilancarkan pada 7 Disember 2021.
Set Tagung Kadazan daripada Pertubuhan Kadazan Sabah tersebut berusia lebih 100 tahun berbentuk sanggul wanita, diperbuat daripada tembaga di Brunei semasa Borneo Utara dikuasai oleh Kesultanan Brunei sekitar 1700-an sebelum dibawa ke pedalaman.
Tagung Kadazan memainkan peranan penting dalam upacara Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai, majlis perkahwinan, upacara kematian dan upacara keagamaan berkaitan dengan Kinoingan, iaitu Tuhan bagi masyarakat Kadazan.
Gendang dan set Kulintangan yang terkandung bersama-sama Tagung Kadazan merupakan asimilasi yang belaku dalam masyarakat Kadazan sebagai tanda persahabatan dengan negara Brunei pada zaman dahulu.
Menurut kepercayaan masyarakat Kadazan, tagung merupakan alat yang dimainkan oleh Kinoingan (Tuhan), diperbuat daripada bambu dan buah padi yang telah dituai terbang memasuki bangsal penyimpanan padi.
Sumbangan koleksi set tagung tersebut kepada JMM disampaikan dalam majlis penghargaan khusus di Ruang Tengah, Pameran Raja Kita, JMM pada petang semalam menjadi lambang kepada keutuhan warisan budaya bagi masyarakat Kadazan.
Selain daripada set Tagung Kadazan, terdapat pelbagai klasifikasi koleksi yang telah didermakan oleh orang ramai mewakili semua kaum dan etnik yang ada di negara ini seperti mata wang, senjata, alat dan perusahaan, pakaian dan perhiasan diri, sampul surat, permainan dan hiburan, wayang kulit, seramik serta spesimen.
Sementara itu, pelaksanaan Kempen Derma Koleksi JMM merupakan inisiatif JMM untuk melindungi dan melestarikan khazanah warisan negara melalui sumbangan koleksi peribadi masyarakat yang bernilai dari sudut sejarah, seni, budaya dan alam semula jadi kepada JMM.
Usaha JMM sebagai penjaga dan jambatan pengetahuan melalui kempen ini diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan memeliharan dan memulihara khazanah sejarah, seni, budaya, warisan dan alam semula jadi negara.
Orang ramai yang berminat boleh menyertai kempen tersebut dan permohonan derma koleksi akan dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian Koleksi, JMM.
Permohonan derma koleksi kepada JMM adalah berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan, antaranya termasuklah pemohon hendaklah berusia 18 tahun ke atas; koleksi adalah milik pemohon yang sah dan bukan daripada status pemilikan yang diragui serta bebas daripada sekatan hak cipta; borang permohonan hendaklah diisi dengan lengkap dengan diskripsi koleksi yang jelas; koleksi dan artifak mempunyai nilai yang signifikan; koleksi berada dalam keadaan baik dan bukan daripada bahan berbahaya; koleksi yang telah diserahkan adalah hak mutlak kerajaan serta tidak boleh dikembalikan.
Koleksi pemohon hanya boleh diserahkan untuk simpanan JMM selepas pemohon mendapat surat tawaran rasmi daripada JMM dan tempoh sah laku permohonan adalah selama satu tahun daripada tarikh penerimaan permohonan oleh pihak JMM.