24 September 2024, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan, YBhg Dato’ Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad telah merasmikan program Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pagi tadi.

Beliau yang berucap bagi mewakili Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Kitab Tib atau dikenali sebagai “kitab ubat” atau “kitab perubatan” merupakan satu warisan budaya yang penting dalam mencerminkan kehebatan ilmu pengetahuan serta tradisi perubatan Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun.

Dalam majlis tersebut, beliau berkata, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengambil inisiatif dengan menyediakan penerbitan Bibliografi Kitab Tib Beranotasi secara dalam talian yang mengandungi 112 deskripsi Kitab Tib koleksi PNM serta maklumat-maklumat lain yang boleh dijadikan sumber rujukan bagi tujuan kajian dan penyelidikan.

YBhg Dato’ Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad menandatangani Perasmian Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2024 sambil disaksikan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Ketua Pengarah PNM Puan Salasiah Abdul Wahab.

Tambah beliau, PNM turut giat menjalankan kajian dan transliterasi iaitu proses alih aksara tulisan Jawi ke tulisan Rumi di mana sejak tahun 2013 PNM telah terlibat dalam Projek Pendokumentasi Secara Komprehensif Pengetahuan Tradisi Melayu berkaitan Tumbuhan Ubatan di Semenanjung Malaysia iaitu projek inisiatif Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Pada tahun 2012 dua buah Kitab Tib koleksi PNM telah didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan Objek Tidak Ketara di bawah kategori warisan bahasa dan persuratan oleh Jabatan Warisan Negara.

Perserta yang hadir dalam hadir program bermula pada 24 hingga 25 September 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP.

Beliau berharap persidangan ini dapat menjadi satu wadah dalam memungkinkan perkembangan perubatan tradisional Melayu khususnya agar lebih mendapat pengiktirafan dan berupaya menjadi satu cabang amalan perubatan, penyelidikan dan penyebaran ilmu.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa yang mewakili Ketua Pengarah DBP YBrs Dr. Hazami Jahari berkata, program seperti ini merupakan manifestasi yang cukup bererti dan membawa mesej yang jelas tentang usaha yang dibuat oleh PNM untuk menghargai manuskrip.

Tambah beliau, manuskrip merupakan perakam yang mencerminkan akal budi Melayu yang seharusnya dikaji penemuan ilmunya agar kebijaksanaan dunia Melayu ini dapat dikembangkan dan dipraktikan oleh generasi sekarang.

Warisan keintelektualan manusia menjadikan manuskrip itu bukan sahaja bernilai, malah kaedah penyediaan manuskrip itu sendiri melahirkan aktiviti pentafsiran yang membuka kepada keintelektualan pemikiran sebuah tamadun.

“Tiga manuskrip DBP telah diangkat di peringkat antarabangsa, antaranya termasuklah manuskrip Sejarah Melayu yang dikitiraf sebagai Memory of the World UNESCO pada tahun 2021,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara YBrs Encik Mohamad Sobri Mat Daud,  Ketua Pengarah PNM Puan Salasiah Abdul Wahab, dan Ahli Lembaga Penasihat PNM, Dato’ Seri Norhisham Ahmad Dahlan.

Persidangan yang bertemakan “Kitab Tib: 1001 Rahsia Ilmu Perubatan Tradisional” ini merupakan usaha berterusan PNM mengangkat dan memartabatkan manuskrip Melayu sebagai khazanah dan warisan yang amat bernilai, khususnya manuskrip dalam bidang perubatan tradisional Melayu.

Persidangan yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 25 September 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP ini merupakan program utama anjuran PNM yang membincangkan perkembangan, penemuan dan isu-isu terkini berdasarkan kajian dan penyelidikan manuskrip Melayu dalam pelbagai bidang.

Penganjuran persidangan dan pameran pada kali inimelibatkan kerjasama PNM, DBP, FRIM, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Pertubuhan Penyelidikan Manuskrip Melayu (PERDIMAN) dan Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.