25 September 2024, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Perkampungan Hang Tuah bakal berwajah baharu apabila dibuka pada Oktober ini dengan nama baharu, Kompleks Hang Tuah Centre selepas kerja menaik taraf siap sepenuhnya.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Wira Roslan Abdul Rahman berkata kerja menaik taraf dengan peruntukan RM4 juta itu merupakan satu daripada tiga projek di Melaka yang telah diluluskan Kementerian Kewangan di bawah Peruntukan Khas: Kumpulan Wang COVID-19 pada tahun 2021.

Menurutnya, menerusi kerja menaik taraf itu, kompleks itu kini dilengkapi dengan teknologi baharu dan terkini, termasuklah segmen interaktif dan realiti maya (VR) sebagai tarikan kepada generasi muda.

“Dengan pelbagai kemudahan serta kecanggihan teknologi yang digunakan di Kompleks Hang Tuah Centre ini, saya berharap dapat menarik lebih banyak pengunjung bagi menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan seterusnya Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026.

“Pembukaan Kompleks Hang Tuah Centre ini juga diyakini dapat menjadi satu nilai tambah dalam menarik kehadiran pelancong ke negeri Melaka, seterusnya melonjakkan jumlah kedatangan pelancong domestik mahu pun luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Menaik Taraf Kompleks Hang Tuah Centre.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong merangkap Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Md Azhan Samat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.