Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Forum Kurator Perdana dengan tema “Muzium Merentasi Lorong Waktu: Pendidikan dan Penyelidikan Melalui Inovasi” sangat tepat dan relevan dalam konteks dunia moden hari ini bahkan menjadikan muzium sebagai institusi yang tidak hanya memelihara warisan tetapi juga mencorakkan masa depan negara.
Timbalan Menteri di Kementerian Perpaduan Negara, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami semasa berucap berkata, Forum Kurator Perdana ini bukan sahaja menjadi medan perbincangan yang produktif tetapi juga mampu mencetuskan idea-idea baharu dan inovatif dalam dunia pemuziuman.
Ujarnya,
“Kita perlu sentiasa bergerak ke hadapan memastikan muzium terus menjadi wadah ilmu yang dinamik, menarik dan relevan untuk semua lapisan masyarakat. Melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi, kita mampu menjadikan muzium sebagai institusi penyelidikan di Malaysia”.
Justeru katanya, semua pihak yang terlibat sama ada kurator, penyelidik, pendidik atau masyarakat umum, untuk terus komited dalam memajukan institusi permuziuman hari ini. Peranan masyarakat dalam memelihara dan menyampaikan sejarah adalah amat penting bukan sahaja untuk generasi sekarang tetapi juga untuk generasi akan datang.
Katanya,
“Di sinilah tempat di mana kita, sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, dapat berkumpul dan mengenali sejarah, warisan, budaya dan alam semula jadi negara kita yang pelbagai. Melalui pemahaman dan penghargaan terhadap sejarah, kita dapat mengukuhkan rasa hormat dan toleransi antara satu sama lain dan seterusnya membina perpaduan nasional yang lebih kukuh. Ini sangat penting dalam usaha kita untuk mengekalkan keharmonian sosial dan kestabilan negara”.
Sementara itu dalam perkembangan yang lain, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) YBrs. En Mohd Razaimi Hamat berkata, forum ini juga diharap dapat memberikan ilham tentang bagaimana inovasi dapat memperkasakan peranan muzium. Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pemetaan unjuran, dan platform digital telah terbukti mampu mengubah cara kita menyampaikan maklumat.
Begitu juga dengan adanya tekologi inovasi ini katanya, membuktikan bahawa muzium bukan sahaja tempat untuk melihat artifak tetapi juga ruang untuk menerokai dunia dengan cara yang lebih interaktif dan moden.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah JMM YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM YBrs Encik Mohamad Shawali Hj. Badi, dan Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Agensi Nuklear Malaysia, YBrs Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin.