Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur — Penyelidikan di muzium merupakan asas utama dalam memaparkan sejarah dan budaya dan perlu disampaikan secara dinamik serta terangkum. Demikian menurut Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim ketika menyampaikan ucap tama sebelum sesi Forum Kurator Perdana membuka tirai.
YBhg. Datuk Kamarul Baharin turut menekankan bahawa teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), Realiti Maya (VR), dan Realiti Terimbuh (AR) kini memainkan peranan penting dalam inovasi penyampaian maklumat muzium.
“Penerokaan inovasi baharu yang dirancakkan oleh pandemik COVID-19, dengan AI dan IoT kini digunakan sebagai pemandu pelawat dan kurator, manakala pameran maya melalui VR dan AR menjadi tarikan utama,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa teknologi ini tidak dapat berfungsi dengan efektif tanpa pengisian data yang tepat oleh kurator, pengkaji budaya tamadun dan pakar sejarah.
Forum ini turut menampilkan barisan panelis yang terdiri daripada Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin; pensyarah kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif Universiti Teknologi Mara, Ts. Dr. Hafizah Rosli; dan Pengarah Muzium dan Galeri Seni Bank Negara, Puan Noreen Zulkepli.
YBrs. Dr. Muhammad Rawi, yang turut bersidang secara maya, membentangkan tajuk “Teknologi Nuklear dalam Penilaian, Pencirian, Konservasi dan Konsolidasi Objek dalam Industri Pemuziuman.” Beliau menggariskan peri pentingnya penggunaan teknologi nuklear dalam memastikan konservasi objek-objek bersejarah dapat dilakukan dengan tepat dan berkesan, tanpa menjejaskan integriti fizikalnya.
“Dengan teknologi seperti pengimejan neutron, penyelidik muzium dapat menghasilkan imej tiga dimensi objek-objek sejarah. Teknologi ini membolehkan penyelidik membuat keratan rentas secara maya tanpa perlu mengusik atau merosakkan mana-mana bahagian objek tersebut,” jelas beliau.
Beliau juga menekankan bahawa banyak objek di muzium, seperti arca atau tiang seri rumah vernakular, mungkin kelihatan utuh di luar, namun bahagian dalamnya boleh mengalami kerosakan akibat faktor cuaca dan usia.
“Pengimejan neutron dapat membantu penyelidik mengenal pasti kelemahan struktur dalaman objek-objek ini. Setelah kelemahan dikenal pasti, kerja-kerja konservasi dapat dilakukan secara berperingkat, dengan tumpuan khusus diberikan kepada kawasan yang paling rapuh,” tambah Dr. Muhammad Rawi.
Sesi seterusnya diterajui oleh Ts. Dr. Hafizah, melalui pembentangan bertajuk “Aplikasi Interaktif Muserator: Panduan untuk Kurator dalam Reka Bentuk Pameran Muzium Melalui Penceritaan Digital”. Beliau menegaskan bahawa perlunya pendekatan baharu untuk menarik minat audiens moden serta memperkaya proses kuratorial dengan elemen penceritaan digital.
“Berdasarkan pemerhatian saya, majoriti kurator tidak mempunyai latar belakang dalam bidang seni. Namun, kurator seperti ini diperlukan di muzium-muzium untuk memberikan penerangan yang mendalam mengenai bahan pameran yang relevan dengan bidang masing-masing,” jelas beliau.
Aplikasi mudah alih interaktif Muserator, menurut Ts. Dr. Hafizah, direka khas untuk membantu kurator dalam meningkatkan kualiti reka bentuk kandungan pameran muzium melalui penceritaan digital yang lebih interaktif.
Beliau juga menekankan kepentingan teknologi digital dalam meningkatkan pelibatan pengunjung dan penyelidikan muzium. “Dengan teknologi ini, pengunjung dapat berinteraksi secara langsung dengan artifak dan bahan pameran, memberikan pengalaman yang lebih mendalam berbanding pameran statik,” tambah beliau. Interaksi ini, katanya, adalah elemen penting dalam memahami sejarah secara lebih terperinci.
Menyokong pandangan Ts. Dr. Hafizah mengenai kepentingan elemen interaktif di muzium, Puan Noreen dalam pembentangannya bertajuk “Menyingkap Pendidikan Kewangan, Seni dan Warisan Melalui Inovasi: Meningkatkan Keterkaitan dan Ketangkasan Muzium”, menekankan perlunya muzium meneroka strategi kreatif dan inovatif untuk mendidik orang ramai secara berkesan mengenai seni dan warisan.
Beliau menyarankan penggunaan pendekatan kreatif yang rendah kos serta teknologi canggih seperti AR, gamifikasi, dan penceritaan digital, bagi mengubah konsep yang kompleks menjadi kandungan yang menarik dan mudah diakses oleh pelbagai khalayak.
“Pengunjung kini mahukan kandungan pameran yang disesuaikan dengan kehendak mereka, bukan lagi pameran yang dipilih susun sepenuhnya oleh pihak muzium. Muzium dan Galeri Seni Bank Negara telah mengenal pasti keperluan untuk melakukan transformasi dan inovasi dalam penyampaian maklumat secara lebih efektif,” jelas beliau.
Transformasi ini melibatkan dua jenis inovasi: inovasi teknologi dan inovasi konseptual.
“Inovasi teknologi merangkumi AR, VR, dan pemetaan, manakala inovasi konseptual melibatkan penstrukturan semula peranan muzium serta proses untuk mendekatkan muzium dengan khalayak umum,” tambah Puan Noreen.
Beliau turut menjelaskan bahawa muzium dahulu dipenuhi dengan teks-teks panjang, namun kini pendekatan pembelajaran lebih interaktif digunakan supaya konsep yang kompleks lebih mudah difahami oleh pengunjung.
Forum ini bertujuan menghimpunkan pandangan daripada pelbagai pihak, termasuklah pakar, kurator, pemain industri, serta masyarakat umum selain menjadi platform untuk membincangkan peranan muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal yang berperanan dalam penyelidikan, sambil mendalami isu-isu semasa, tren, dan cabaran yang dihadapi dalam sektor muzium.
Selain itu, forum ini juga menekankan kerjasama antara institusi pendidikan, agensi penyelidikan, dan muzium dengan masyarakat umum bagi bertukar sumber, idea, serta pengalaman. Hal ini dilihat penting dalam merangka strategi untuk memperkukuh peranan muzium dalam menyediakan program pendidikan yang inovatif serta menggalakkan penggunaan teknologi dalam penyampaian maklumat.
Sejumlah 300 orang peserta dalam kalangan pemain industri permuziuman, ahli akademik, agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan badan bukan kerajaan, badan berkanun, penuntut institut pengajian tinggi dan belia hadir ke forum ini.