Oleh Elvienie Petrus
27 September 2024, 10:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Panggung Anniversari bergema dengan keanggunan dan kehebatan dalam Konsert Jundai Nusantara 3.0: Renjana Kebaya, sebuah acara berprestij yang melakar sejarah gemilang. Konsert ini menjadi tumpuan utama dalam usaha memperkasakan dan memelihara kebudayaan Malaysia dengan menyanjung tinggi pakaian tradisional kebaya, sebuah simbol warisan budaya yang telah diiktiraf sebagai warisan tidak ketara oleh UNESCO pada tahun 2023.

Sebagai kesinambungan daripada Konsert Jundai Nusantara (2021) dan Konsert Jundai Nusantara 2.0: Patriotik Senada (2022), Konsert Jundai Nusantara 3.0 mempamerkan keindahan dan kemegahan kebaya 70-an, membawa penonton dalam sebuah perjalanan nostalgia yang merayakan kehalusan seni tradisional ini.

Acara ini mengumpulkan penggiat seni dari pelbagai negara serantau termasuklah Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Brunei, serta beberapa negara jemputan lain, menjadikannya satu perayaan megah yang melangkaui batasan geografi.

Kebaya diiktiraf sebagai warisan tidak ketara oleh UNESCO pada tahun 2023.

Katarsis Seni, selaku penganjur, telah menganjurkan program yang kaya dengan kepelbagaian seni dan budaya. Persembahan seperti deklamasi puisi, prosa tradisional, teater monolog, dan nyanyian lagu rakyat, semuanya dirancang untuk mendekatkan generasi muda kepada akar umbi budaya.

Program ini menggabungkan elemen warisan kebaya, bahasa, dan suasana zaman tersebut, dengan objektif utama untuk mengembalikan memori sejarah awal perkembangan kebaya di Malaysia dan meningkatkan pemahaman serta minat terhadap pakaian tradisional ini.

Konsert ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform penting dalam memupuk semangat patriotik sempena bulan kemerdekaan tetapi juga sebagai wadah yang mengangkat kebaya sebagai simbol budaya yang patut dihargai.

Dengan persembahan hebat daripada artis-artis terkemuka seperti Maysaa Hana, Iman Soleh, Isa Kamari, Dr. Shafaatussara’ Silahudin, Roslan Madun, Sosonjan A. Khan dari Brunei, Sani Sudin, Izwan Palarae, Saiful Wazien, dan Aina Abdul, konsert ini menonjolkan kepelbagaian dan keindahan seni budaya yang dipersembahkan dengan penuh rasa hormat dan kecintaan.

Sambutan yang gilang-gemilang terhadap konsert ini jelas menunjukkan impaknya yang mendalam dalam meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap seni tradisional. Konsert Jundai Nusantara 3.0 diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang, kerana bukan sekadar acara seni tetapi juga perayaan kebudayaan yang menjanjikan pemuliharaan dan pengukuhan warisan seni Malaysia.

Dengan mempromosikan kebaya sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan, konsert ini menyemarakkan semangat patriotik dan memperkukuh rasa bangga terhadap warisan kebudayaan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.