Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPitas – Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap ADUN N.02 Bengkoka, YB Datuk Harun Durabi telah merasmikan Majlis Wacana Kearifan Tempatan Sabah; “Indahnya Teka-Teki: Mendidik dan Menghibur”, baru-baru ini.
Dalam ucapan perasmian, beliau meletakkan harapan yang tinggi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk terus mengangkat karya-karya yang bercirikan kearifan tempatan.
“Program seumpama ini telah membantu memperkenalkan kepada seluruh lapisan masyarakat akan tradisi dan budaya setempat, malah membibikkan rasa cinta dalam menghargai perkara bersifat tempatan.”
Sebagai tanda sokongan, beliau berbesar hati membeli dan menyumbangkan buku terbitan DBP kepada Pusat Sumber empat buah sekolah, iaitu SMK Kanibungan, SMK Pitas II, SK Kanibungan dan SK Kusilad. Ujar beliau;
“Anak bangsa daerah Pitas harus kenal dan mengetahui perkara-perkara tempatan melalui bahan bacaan dan akhirnya kembali menyumbangkan sesuatu kepada komuniti.”
Terdahulu, DBP Cawangan Sabah (DBPCS) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pitas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kanibungan, Pitas telah menganjurkan Wacana Kearifan Tempatan Sabah “Indahnya Teka-Teki: Mendidik dan Menghibur” pada 24 September 2024 di SMK Kanibungan Pitas.
Majlis ini diadakan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024 dan antara pengisian program dengan mengadakan wacana berkaitan kearifan tempatan.
Panel pembicara wacana terdiri daripada penulis buku Analisis Teka-Teki Etnik di Sabah (Dusun Liwan Dusun Kimaragang, Lundayeh dan Rungus), iaitu Dr. Rosliah Kiting, Dr. Raymond Majumah @ Azlan Shafie Abdullah dan Puan Rasimi Linggang.
Mereka bertiga berkongsi tentang hal bahasa, sastera, seni dan budaya yang diamalkan oleh etnik-etnik tersebut.
Selain wacana, turut diadakan program Wakaf Buku, jualan buku DBP dan program Bersahabat dengan Kamus (Sesi Perkongsian Ilmu Perkamusan).
Turut hadir memeriahkan program adalah Timbalan Pengarah II DBPCS, Puan Julianah Kuli dan Puan Malati Lajim, Pegawai PPD Pitas.
Pelaksanaan program ini adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di samping melestarikan bahasa, sastera, seni dan budaya etnik di Sabah melalui program wacana santai yang mendidik dan menghiburkan.
Buku yang dibicarakan pada hari ini turut disumbangkan kepada wakil 14 buah sekolah yang menyertai program wacana tersebut.