Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMelaka – Dalam usaha membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian, Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) komited mengadakan kempen galakan membaca kepada masyarakat dari semasa ke semasa.
Pengarah PERPUSTAM, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, menerusi 64 buah rangkaian perpustakaan awam yang ada di seluruh Melaka, PERPUSTAM sentiasa menjalankan aktiviti pembacaan dan budaya ilmu kepada masyarakat pelbagai usia.
Menurutnya, Pesta Buku Melaka 2024 yang diadakan bermula pada 25 September hingga 28 September lalu adalah antara usaha PERPUSTAM menggalakkan lagi amalan membaca dan merancakkan industri buku negara.
“Menerusi pesta buku yang dianjurkan saban tahun, usaha tersebut mampu menjadi platform untuk penerbit memasarkan buku-buku secara terbuka dengan harga yang ditawarkan adalah mampu milik oleh semua golongan masyarakat.
“Pesta Buku Melaka ini juga merupakan satu daripada program utama PERPUSTAM menerusi Program Galakan Membaca di Melaka yang menjadi pemangkin dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan ilmu pengetahuan.
“Usaha tersebut juga secara tidak langsung memudahkan pencinta buku mendapatkan bahan bacaan dan akan memberikan manfaat kepada semua golongan khususnya pelajar,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Buku Melaka 2024 yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum.
Mengulas lanjut, Mohamed Aizammuddy berkata, pelbagai aktiviti menarik telah diatur dan diadakan sepanjang berlangsungnya pesta buku itu.
“Antara aktiviti yang telah diadakan termasuklah pertandingan mewarna, cerita rakyat, tulisan khat, busana tradisional Malaysia, nasyid, karaoke, exploria dan pelbagai lagi. Turut diadakan sesi bersama Ustaz Selebriti dan penulis-penulis buku terkenal.
“Selain itu, peserta atau pengunjung Pesta Buku Melaka 2024 turut berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik sepanjang berlangsungnya pesta buku itu,”katanya.